NAIB juara remaja dunia, Aira Azman mengintai peluang untuk ke suku akhir Piala Ace Malaysia 2023, selepas melepasi cabaran pusingan pertama dengan kemenangan 3-0.
Kejohanan berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan itu menyaksikan mendapat tentangan sengit daripada rakan sengara, J Yasshmita, namun akhirnya muncul pemenang dengan keputusan 11-9, 14-12, 12-10.
Kemenangan itu membawa kepada pertemuan menentang pilihan kelima kejohanan, iaitu pemain senior, Rachel Arnold yang mendapat bye di pusingan pertama.

Aira Azman (kiri) mengintai peluang mara lebih jauh di kejohanan ini bagi meraih sebanyak mata untuk memperbaiki kedudukan rankingnya.
“Sudah lama tak menentangnya (Yasshmita), saya rasa banyak peningkatan ditunjukan namun saya hanya memberikan prestasi 100 peratus walaupun agak tertekan sepanjang perlawanan itu,” kata Aira.
Berdepan Rachel, Aira sedar bukan mudah untuk dia mendapatkan kemenangan kerana Rachel lebih berpengalaman selain segar kerana tidak perlu beraksi di pusingan pertama.

Rachel Arnold (kiri) menunggu Aira di pujsingan kedua.
“Sepanjang tahun ini, memang agak memenatkan kerana saya bermain dalam acara remaja dan PSA, 15 kejohanan saya harungi, agak padat tapi saya nak habiskan musim ini dengan baik kerana mahu melonjakkan ranking dunia.”
Turut melepasi pusingan pertama, pemain senior Low Wee Wern yang menang ke atas Menna Hamed dari Mesir, 11-9, 11-2, 7-11, 13-11 untuk menempah pertemuan menentang pilihan kedua juga dari Mesir, Farida Mohamed.

Low Wee Wern (kanan), masih berbisa.
Turut akan turun beraksi di pusingan kedua, Aifa Azman yang akan berdepan Lee Ka Yi dari Hong Kong, dan S.Sivasangari menentang Alicia Mead dari England.
Dalam pada itu, perseorangan lelaki, Addeen Idrakie melepasi pusingan pertama dengan menundukkan Yannik Omlor dari Jerman 3-1.
Mengakui kemenangan ke atas lawan sama di pusingan pertama Terbuka Qatar minggu lalu memberinya keyakinan, namun pemain negara yang baru bergelar bapa ini mengharungi persaingan sengit sebelum menang 16-14, 11-3, 11-13, 14-12.

Addeen Idrakie (kiri) ke pusingan kedua.
“Sebenarnya badan saya kurang cergas kerana baru menerima kelahiran bayi, membuatkan saya kurang menjalani latihan.
“Tapi saya tahu kemampuan diri dan kekuatan saya,” kata Addeen.
Kemenangan itu membawanya kepada pertemuan menentang Saurav Ghausal dari India yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, satu lawan yang agak sukar untuk diatasi.
“Saya sedar dia pemain nombor dua Asia ketika ini, pasti sukar untuk saya namun apa pun boleh berlaku apabila beraksi di laman sendiri.

Peluang buat Ng Eain Yow meraih gelaran di laman sendiri.
“Apa yang penting saya hanya mahu fikirkan corak permainan yang akan saya gunakan menentangnya.”
Kemaraan Addeen itu gagal dituruti Mohammad Syafiq Kamal yang tewas kepada pemain Hong Kong, Henry Leung 11-6, 3-11, 6-11, 7-11, sementara pemain senior Ivan Yuen, mengatasi pemain Mesir, Aly Hussein 11-6, 11-13, 3-11, 11-7, 11-5.
Kemenangan membawanya kepada pertemuan menentang pilihan ketujuh, Dimitri Steinmann dari Switzerland.
Akan turut beraksi di pusingan kedua, pemain utama negara Ng Eain Yow.