FOTO : Sri Pahang FC
SELEPAS penyokong Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) menunjukkan tanda solidariti mereka terhadap penindasan Israel ke atas rakyat Palestin, giliran Elephant Army pula mahu melakukan perkara yang sama ketika Sri Pahang FC melayan kunjungan PDRM FC aksi tertunda Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Rabu.
Memetik kenyataan rasmi penyokong tegar Tok Gajah itu, mereka menggunakan platform media sosial bagi meningkatkan kesedaran mengenai keganasan itu dan menyampaikan mesej sokongan terhadap Palestin.
“Kami menyeru semua komrad untuk sama-sama turun pada perlawanan Rabu ini menentang PDRM dan membawa bersama bendera Palestin.
“Bersama kita kekal menyatakan solidariti dan sokongan kepada saudara kita di Palestin.
“Ayuh!!! ,” menurut hantaran berkenaan.
Terdahulu, aksi penyokong Terengganu ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 menentang KL City di Stadium Sultan Mizan Jumaat lalu kini mendapat perhatian media antarabangsa.
Ini kerana lebih 25,000 penyokong yang telah hadir bersatu hati mengangkat bendera Palestin serta kain rentang sebagai tanda solidariti terhadap usaha pembebasan negara itu daripada Israel sebelum perlawanan bermula.
Lagu Demimu Palestin turut dinyanyikan penyokong di dalam stadium selain melaungkan slogan bagi menunjukkan sokongan padu terhadap negara berkenaan.
Rakaman video aksi penyokong TFC itu tular di media sosial sehingga menarik perhatian agensi media Palestin, Qud News Network sekaligus mendapat pujian daripada warga maya dari seluruh dunia.
Ketika ini, rakyat Palestin berdepan krisis ‘pembunuhan beramai-ramai’ selepas serangan berterusan tentera rejim zionis Israel.
Di peringkat antarabangsa, penyokong kelab Scotland, Celtic turut mengibarkan bendera Palestin sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid bulan lepas.