INSIDEN memalukan tercetus dalam aksi Piala Presiden 2025 antara PDRM FC dan Penang FC petang semalam apabila penyokong dilaporkan menceroboh masuk ke kawasan padang dan menyerang pemain pasukan pelawat — mencetuskan kebimbangan besar terhadap tahap keselamatan perlawanan yang diadakan di Padang Pulapol.

Rakaman serta maklumat yang tular di media sosial memperlihatkan suasana tegang sebaik wisel penamat ditiup, apabila sekumpulan penyokong bertindak agresif hingga menimbulkan kekecohan, sekaligus mencemarkan semangat kesukanan kejohanan bola sepak remaja tertua di Malaysia itu.

Situasi tersebut menimbulkan persoalan besar — adakah venue seperti Pulapol masih selamat untuk menganjurkan perlawanan kompetitif, apatah lagi membabitkan emosi tinggi di peringkat pembangunan seperti ini?

antara insiden ketegangan yang berlaku sehingga patah kerusi yang di baling penyokong. FOTO: penang brotherhood

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Azman Rahman ketika dihubungi Flash Sukan mengesahkan bahawa pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada Pengadil dan Komisioner Perlawanan (GC) sebelum tindakan lanjut diambil.

“Hari ini kita akan dapat laporan daripada GC & pengadil perlawanan semalam. Kita akan bawa ke Jawatankuasa Tatatertib bagi tindakan seterusnya,” katanya ringkas.

Insiden ini jelas memberi isyarat bahawa kawalan keselamatan dalam perlawanan bola sepak, termasuk di peringkat pembangunan, tidak boleh dipandang ringan. Selain mencemarkan imej pertandingan, ia juga mendedahkan para pemain muda kepada bahaya fizikal dan trauma psikologi.

Peminat bola sepak tempatan kini menanti ketegasan daripada FAM serta pihak berkaitan dalam memastikan kejadian seperti ini tidak berulang — demi maruah sukan dan keselamatan semua pihak yang terlibat.