BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei menyifatkan penganugerahan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) oleh kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai satu penghormatan yang amat bermakna dalam hidupnya.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi miliknya, Chong Wei merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib atas kurniaan sempena sambutan ulang tahun ke-84 Tuan Yang Terutama, pada Rabu.

Katanya, walaupun sudah bersara daripada gelanggang, semangat Malaysia, terutamanya Pulau Pinang tetap menjadi kekuatan yang dibawanya ke mana saja beliau melangkah.

Tun Ramli Ngah Talib menyemat pingat ke dada Datuk Seri Lee Chong Wei. |FOTO by BERNAMA

“Gelaran ini bukan hanya untuk saya seorang, tetapi untuk semua yang menyokong saya sejak hari pertama, keluarga, jurulatih, rakan sepasukan dan peminat,” katanya.

Chong Wei turut menyifatkan pengiktirafan itu sebagai simbol kekuatan sukan yang bukan sekadar berkait dengan kemenangan atau kalah, tetapi menyatukan hati dan jiwa rakyat.

Beliau berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan sukan negara dengan membantu melahirkan bakat baharu dan menyemarakkan semangat kesukanan di kalangan generasi muda.

“Semoga Pulau Pinang dan Malaysia terus maju dalam dunia sukan serta melahirkan lebih ramai atlet yang mampu bersinar di pentas antarabangsa,” katanya.