PENYERANG sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Jese Rodriguez mengakui masih dalam fasa untuk menyesuaikan diri namun bertekad untuk menyumbang sesuatu kepada kelab di pentas Liga Malaysia.
Bekas bintang Real Madrid itu merupakan rekrut berprofil tinggi JDT pada musim ini dan terus menjadi tumpuan apabila melakukan debut pada perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC selepas dimasukkan pada minit ke-64, tempoh hari.
Ternayata kemenangan 4-0 ke atas skuad Jang terus memberikan motivasi terbaik kepada Rodriguez dan rakan sepasukan, selain dia mula memasang impian untuk mempersembahkan prestasi yang lebih baik pada aksi-aksi akan datang.
Bahkan, bekas pemain kebangsaan Sepanyol ini juga merasakan dengan saingan liga yang masih belum berakhir akan memberikannya ruang untuk terus memperbaiki diri sekaligus mahu membantu kelab ini dengan lebih cemerlang.
“Saingan liga masih belum berakhir tapi kami gembira dengan prestasi pasukan ketika ini. Secara peribadi saya berasa sangat baik tapi saya percaya saya masih boleh meningkatkan lagi prestasi dan apa yang penting adalah kemenangan buat pasukan.
“Saya baharu sahaja bersama pasukan dan masih lagi dalam proses untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik dan menyesuaikan diri.
“Apa pun, saya sangat gembira berada di sini (JDT), saya berusaha untuk memperbaiki prestasi setiap hari dan mahu menyumbang sesuatu kepada JDT”, jelasnya yang memenangi gelaran La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah ketika bersama Real Madrid pada 2011-2016.