PENJAGA gol Liverpool, Alisson Becker, menyeru rakan sepasukannya untuk mencipta sejarah baharu dalam usaha mereka merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertama bersama pengurus baharu, Arne Slot.

Ketika ini, The Reds mendahului carta liga dengan kelebihan lapan mata daripada Nottingham Forest yang berada di tangga kedua. Mereka juga berjaya meninggalkan pencabar-pencabar utama seperti Arsenal dan Chelsea.

Tiada siapa menyangka Liverpool mampu mempamerkan prestasi cemerlang sebegini pada musim pertama Slot. Malah, mereka kini dianggap sebagai calon utama untuk menjuarai liga.

Alisson merupakan salah seorang pemain dalam skuad Liverpool yang menjulang trofi EPLpada musim 2019/2020 di bawah kendalian Jurgen Klopp, mengakhiri penantian selama 30 tahun untuk gelaran liga.

 

“Pasukan itu sangat istimewa. Kami meraih banyak kejayaan hebat. Itu adalah gelaran Liga Perdana Inggeris pertama selepas sekian lama.”

“Kami juga memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada musim sebelumnya. Namun, tiada perbandingan dengan situasi sekarang. Apa yang menggembirakan saya adalah kumpulan pemain ini memiliki kualiti untuk melakukan sesuatu yang luar biasa,” kata Alisson

Pemain dari Brazil itu menekankan kepentingan komitmen daripada seluruh pasukan untuk mencapai kejayaan, sama seperti semangat yang ditunjukkan ketika era kegemilangan bersama Klopp.

Alisson adalah salah seorang daripada sembilan pemain dalam skuad semasa yang turut bermain pada musim 2019/2020. Antara pemain lain ialah Trent Alexander-Arnold, Virgil van Dijk, Joe Gomez, Andrew Robertson, dan Mohamed Salah.

Namun begitu, Liverpool kini diperkuat oleh muka-muka baharu seperti Ryan Gravenberch, Dominik Szoboszlai, Alexis Mac Allister di bahagian tengah, serta Luis Diaz, Darwin Nunez, dan Cody Gakpo di barisan serangan.

Mengenai perbezaan gaya permainan, Alisson mengakui bahawa pasukan sekarang mempunyai pendekatan yang lebih menumpukan kepada penguasaan bola berbanding era Klopp.

“Dulu, permainan kami sangat direct, banyak transisi, dan intensiti tinggi. Kini ada sedikit perbezaan, kami lebih banyak mengutamakan penguasaan bola,” jelas Alisson.

Dengan skuad yang penuh dengan kualiti dan pendekatan baharu dari Arne Slot, Alisson optimis Liverpool memiliki segala yang diperlukan untuk mencipta sejarah baharu.

Persoalannya kini, mampukah The Reds mengekalkan konsistensi mereka hingga penghujung musim?