KETUA jurulatih baharu Manchester United, Ruben Amorim dilaporkan terkejut dengan tahap intensiti dan kelajuan yang ditunjukkan oleh pemainnya dalam sesi latihan pertamanya bersama pasukan itu.

Menurut laporan media London, Amorim yang menggantikan Erik ten Hag mendapati tugas yang menantinya lebih mencabar daripada jangkaannya.

Dalam usahanya untuk menerapkan formasi 3-4-3, dia menyatakan rasa tidak puas hati terhadap usaha yang ditunjukkan oleh beberapa pemain yang tidak terpilih menyertai skuad kebangsaan mereka semasa rehat antarabangsa.

Amorim mahu perubahan segera diperlukan bagi memastikan United dapat bangkit selepas permulaan musim yang mengecewakan

Amorim, yang sebelum ini membimbing Sporting CP, dilaporkan terus-menerus menggesa pemain-pemainnya agar meningkatkan kelajuan permainan sepanjang sesi latihan tersebut.

Kegagalan sesetengah pemain menyesuaikan diri dengan pendekatan dinamik beliau telah menyebabkan Amorim mula mengenal pasti individu-individu yang tidak sesuai dengan falsafah bola sepaknya dan mungkin bakal dilepaskan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Amorim telah menyuarakan hasrat untuk memperkukuhkan pasukannya dengan membawa masuk seorang pemain baharu di posisi bek kiri (LB) menjelang tahun 2025.

Usaha ini bertujuan untuk memperkuatkan lagi bahagian pertahanan pasukan dalam sistem yang sedang direncanakannya.

Dia percaya perubahan segera diperlukan bagi memastikan United dapat bangkit selepas permulaan musim yang mengecewakan.

United kini berada di tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris selepas hanya mencatatkan empat kemenangan daripada 11 perlawanan pertama.

Amorim pernah membimbing Sporting CP sebelum berpindah ke Manchester United

Namun, dengan jarak hanya empat mata memisahkan mereka dengan Arsenal di tempat keempat, Amorim berharap dapat mengubah prestasi pasukan dalam masa terdekat.

Pengendali dari Portugal itu akan memimpin perlawanan pertamanya sebagai jurulatih United pada Isnin ketika pasukan tersebut bertandang ke Ipswich.