LIVERPOOL mula menemui kemenangan selepas mempamerkan aksi mengecewakan dalam beberapa perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Mohamed Salah dan Cody Gakpo mencetuskan kegembiraan di Anfield selepas masing-masing menjaringkan satu gol membantu kemenangan pasukan mengatasi jiran tetangga, Everton, 2-0.

Penyerang kelahiran Mesir, Salah menjaringkan gol pertamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Boxing Day ketika skuad Jurgen Klopp menamatkan kemarau kemenangan empat perlawanan berturut-turut di Anfield.

Gakpo turut melengkapkan malam gemilang buat pasukan dan juga dirinya apabila menjaringkan gol pertamanya untuk kelab pada babak kedua.

Salah meledak gol pada separuh masa pertama.

Bagi Salah, kemenangan 2-0 dalam aksi ‘derby’ Merseyside  hanyalah permulaan kepada kebangkitan The Reds musim ini.

“Ia kemenangan besar bagi kami dan mempunyai minggu sempurna untuk berlatih dan pemain sangat gembira.

“Kami tak sabar menunggu perlawanan seterusnya untuk mengubah kedudukan kami dan berharap kemenangan pada malam ini adalah satu permulaan,” ujarnya.

Liverpool masih sembilan mata ketinggalan di belakang kelompok empat teratas dengan menduduki tangga kesembilan tetapi jurang itu boleh dikurangkan kepada enam mata apabila mereka berkunjung ke St James’ Park hujung minggu ini.

Sementara itu, Gakpo menyifatkan rentak kemenangan seumpama ini dapat diteruskan untuk terus memberikan keyakinan menjaringkan gol membantu keputusan positif buat pasukan.

“Persembahan hebat dari kami dan amat memerlukan aksi seperti ini,” jelasnya.

Pada aksi tersebut juga, berita baik buat penyokong Liverpool dengan kembalinya semula Diogo Jota dan Roberto Firmino selepas pulih kecederaan manakala Virgil van Dijk berada di bangku simpanan selepas enam minggu tidak boleh beraksi.