TURKMENISTAN kembali menghidupkan peluang untuk layak ke Piala Asia AFC 2023 apabila berjaya menewaskan Bangladesh 2-1 pada aksi kedua kelayakan akhir Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Meskipun ditentang hebat namun dua gol pada setiap babak berjaya memberikan harapan kepada skuad Karakum Warriors sebelum berhadapan Bahrain pada perlawanan terakhir nanti.

Turkmenistan berjaya memperolehi gol pertama pada minit kelapan menerusi jaringan Altymyrat Annadurdyyev selepas menguis masuk bola hasil sepakan sudut.

Gol awal itu bagaimanapun tidak menyentap semangat anak-anak buah Javier Cabrera yang berjaya menyamakan kedudukan lima minit kemudian selepas Mohamad Ibrahim berjaya menanduk masuk gol pertama Bangladesh di kejohanan ini.

Skuad Bengal Tigers nyata mempamerkan aksi yang lebih mantap berbanding ketika bertemu Bahrain dengan beberapa kali berjaya menembusi benteng pertahanan lawan namun dihampakan ketumpulan penyudah.

 

Tiada banyak perubahan berlaku pada babak kedua dengan Bangladesh masih lagi dilihat lebih bernafsu untuk memburu gol dengan penyerang Sazzad Hossen mempunyai beberapa peluang terhidang.

Kegagalan menyudahkan peluang mengundang malang buat Bangladesh apabila satu serangan balas pantas oleh Turkmenistan berjaya menghasilkan gol menerusi pemain gantian, Arslan Amanov pada minit ke-77.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Turkmenistan berjaya mengutip tiga mata untuk kembali bersaing manakala Bangladesh tersingkir dari perebutan tempat ke Piala Asia AFC 2023.