SKUAD Akademi Mokhtar Dahari Bawah 17 tahun (AMD B-17) baru-baru ini telah terbang ke Jepun bagi menyertai kempen Piala Sanix 2024.

Seramai 22 pemain secara keseluruhan telah dibawa ke bumi Jepun dengan menaiki pesawat China Eastern Airlines untuk menghadapi beberapa perlawanan sengit di sana.

Aksi yang sedang berlangsung iaitu pada 13 hingga 17 Mac ini telah bermula di Munakata City, Fukuoka dengan menyaksikan perlawanan antara AMD dan pasukan Gamba Osaka.

Namun, aksi pertama menentang kelab Liga Jepun 1 (J1) itu telah memberi keputusan yang agak mengecewakan dan tidak begitu memberangsangkan sekali gus menerima kekalahan 10-0 dalam perlawanan tersebut.

Skuad AMD B-17 perlu menonjolkan aksi lebih ganas dalam saingan seterusnya di Piala Sanix.

Pasukan kendalian Mohamad Kuizwan Johari terus menerima nasib hampa apabila kalah dalam saingan kedua menentang Aomori Yamada High School dengan keputusan penalti 2-4.

Pastinya berbaki beberapa perlawanan di Piala Sanix ini, peminat bola sepak mengharapkan agar pasukan AMD B-17 dapat memberikan saingan yang lebih kuat dan padu, tambahan lagi jika berdepan dengan pasukan liga J1 yang lain.

Untuk rekod, ini merupakan penyertaan kedua berturut-turut buat pasukan AMD ke Piala Sanix, selepas turut menyertai piala tersebut pada musim lalu.