PELUMBA Honda KC Racing, Md Firdaus Md Hamdan kini dilihat berada pada prestasi cemerlang menyasarkan untuk menjejakkan kaki ke podium pada perlumbaan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix Pusingan 3 yang akan berlangsung pada 11 hingga 12 Jun di Litar Sepang Selatan.

Setelah mengalami kemalangan pada awal sesi kelayakan pusingan yang lalu, Firdaus terpaksa bermula di petak terakhir namun itu tidak menghalang pelumba ini untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

“Perlumbaan di Sepang Selatan nanti merupakan satu cabaran besar buat saya kerana saya pasti semua pelumba akan mencari setup terbaik.

“Saya akan cuba untuk save motor dan elak dari terjatuh dan cuba mendapatkan keputusan lebih baik daripada perlumbaan yang lalu,” katanya.

Pada perlumbaan terakhir di litar ini musim lalu, dia berjaya menduduki tempat kedua namun enggan mendabik dada dan berwaspada dengan saingan daripada pelumba lain.

“Persaingan pastinya sangat sengit, semua pelumba akan bersaing dalam satu kelompok yang besar. Saingan utama saya pastinya daripada pelumba-pelumba yang berpengalaman.

“Saya tak letak sasaran yang terlalu tinggi, cuma mengejar podium tapi kemenangan adalah satu bonus bagi saya.

“Saya perlu atur strategi terbaik kerana itu amat penting dalam perlumbaan yang sengit seperti ini,” ujar Firdaus lagi.