Brazil’s midfielder #08 Bruno Guimaraes kicks the ball past Morocco’s defender #03 Noussair Mazraoui during the 2026 World Cup Group C football match between Brazil and Morocco at the New York/New Jersey Stadium in East Rutherford on June 13, 2026. (Photo by CHARLY TRIBALLEAU / AFP)
Brazil terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas diikat 1-1 oleh Maghribi dalam aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia 2026 di Stadium MetLife.
Perlawanan yang dianggap antara tumpuan utama peringkat kumpulan itu menyaksikan Maghribi sekali lagi mempamerkan kualiti mereka sebagai salah satu pasukan terbaik dunia apabila memberikan tentangan sengit kepada juara dunia lima kali tersebut.
Wakil Afrika itu membuka jaringan pada minit ke-21 menerusi Ismael Saibari selepas memanfaatkan kesilapan Brazil di bahagian tengah padang.
Bagaimanapun, Brazil berjaya menyamakan kedudukan 11 minit kemudian hasil sentuhan berkualiti Vinicius Junior. Penyerang Real Madrid itu melakukan larian dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Maghribi.
Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti mengakui pasukannya bergelut pada separuh masa pertama apabila sering kehilangan penguasaan bola dan gagal mengawal rentak permainan.
“Saya rasa kami tidak memulakan perlawanan dengan baik. Pasukan agak gementar, terlalu banyak kehilangan bola dan kalah dalam banyak perebutan.
“Separuh masa pertama tidak bagus, tetapi kami menunjukkan peningkatan selepas rehat. Ia perlawanan sukar kerana Maghribi adalah pasukan yang berkualiti,” katanya.
Maghribi yang mencipta sejarah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 tampil lebih agresif sejak awal permainan menerusi ancaman Achraf Hakimi, Bilal El Khannouss dan pemain tengah muda, Ayyoub Bouaddi.
Brazil pula hanya mula menemui rentak selepas babak kedua bermula dengan beberapa pertukaran dilakukan Ancelotti, namun mereka masih gagal mencipta banyak peluang jelas di hadapan gawang lawan.
Maghribi terus bertahan dengan disiplin tinggi sehingga berjaya mengekang asakan Brazil, walaupun Matheus Cunha hampir menghadiahkan kemenangan kepada Selecao pada penghujung perlawanan.
Keputusan seri itu memastikan kedua-dua pasukan masih berada dalam kedudukan baik untuk memburu slot ke pusingan kalah mati, sekali gus menjadikan persaingan Kumpulan C semakin terbuka selepas aksi pertama.