SETELAH bergelut dengan kecederaan hamstring, pelari pecut muda negara, Muhammad Arsyad Md Saat bersedia untuk kembali menggalas cabaran di Sukan Perpaduan Islam yang bakal dilangsungkan di Konya, Turki, 8 hingga 18 Ogos ini.

Kecederaan tersebut memaksanya melupakan hasrat mengambil bahagian dalam sebarang pertandingan dalam tempoh dua bulan sebelum ini.

Kini, dia bersedia  memecahkan rekod kebangsaan dalam acara kegemarannya iaitu 200 m. Keyakinan itu memuncak setelah mendapat suntikan motivasi dari jurulatihnya yang sentiasa memberi gambaran bahawa tiada apa yang mustahil.

“Perasaan saya tercabar jugalah dengan apa yang jurulatih cakap untuk saya kembali, dua bulan jugalah saya rehat dalam pertandingan ini.

“Jadi inshaAllah saya akan galas tanggungjawab dalam acara 200 m untuk mendapatkan personal best dan memecahkan rekod Malaysia. Saya memang meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod Malaysia dekat Islamic nanti.

“Dia suruh saya kuat sebab sebelum ini sebelum Sukan SEA pun saya dah cedera. Jurulatih selalu cakap kuatkan semangat dan percaya kerja kerja tuhan. Insha Allah ada hasilnya nanti.

“Kalau dalam latihan kami tiada berlatih untuk 200m. Kami hanya berlatih untuk 150 m, 120 m sebab 150 m saya punya personal best saya buat hari itu 14.45 saat. Manakala, untuk 120 m saya buat 11.75 saat. Sasaran dekat Turki saya letak 20.6 inshaalah,” kongsinya kepada media selepas sesi latihan di trek Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Menyedari bakal bersaing dengan atlet Qatar, namun dia tetap optimis dengan kemampuannya serta mengikuti nasihat jurulatih agar menjaga rukun ibadah sebagai umat Islam.

“Untuk World Islamic ini kita tahu ramai atlet seperti Qatar. Mereka pun ada yang dari bawah 20 saat, 21 saat. Apa yang saya lakukan, mentaliti, latihan, yang penting solat jangan tinggal. ” Kondisi alhamdulillah dah 99 peratus untuk ke Turki. Sehari lagi dua hari lagi seratus peratus,” kata pelari pecut muda itu.