KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan telah menerima pelawaan negeri Johor untuk menjadi venue rasmi bagi acara bola sepak apabila Malaysia menjadi tuan rumah Temasya Sukan Sea 2027.
Pengesahan ini menyaksikan Johor bakal menjadi tuan rumah bersama-sama Kuala Lumpur, Sarawak dan Pulau Pinang dengan peminat bola sepak akan tertumpu kepada negeri Johor.
Menterinya, Hannah Yeoh yang mengesahkan perkara ini menyifatkan Johor memiliki infrastruktur dan padang bola sepak terbaik di Malaysia dan ini peluang untuk mempamerkannya ke peringkat Asia Tenggara pula.
“Sekarang KBS dah dapat pengesahan untuk Johor menjadi hos bersama Sukan SEA 2027 bagi acara bola sepak, dan ini satu berita baik kerana kalau kita berbincang mengenai infrastruktur dan padang bola serta stadium, tiada yang boleh menandingi kehebatan Johor. Ini adalah peluang untuk kita pamerkan infrastruktur bola yang ada di Johor bagi peserta Sukan SEA,” katanya.
Terdahulu Kerajaan Negeri Johor menyampaikan hasrat kepada pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail untuk menganjurkan bola sepak Sukan SEA 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Exco Belia Sukan dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, menjelaskan pihaknnya menunggu perkenan daripada Tunku Ismail dengan mencadangkan empat venue sebagai pilihan bagi acara bola sepak.
Selain Stadium Sultan Ibrahim, tiga lagi stadium dicadangkan iaitu Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Stadium Olahraga Mount Austin dan juga Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang selain beberapa stadium mini dan padang sebagai venue latihan.
Malaysia sekali lagi terpilih menganjurkan temasya sukan terbesar Asia Tenggara ini selepas kali terakhir melakukannya pada 2017 dan satu mesyuarat jawatankuasa penganjur bakal diadakan pada bulan depan untuk membincangkan berkenaan penganjuran termasuk jumlah acara yang dipertandingkan.