WALAUPUN hanya sempat menjalani satu sesi latihan, skuad ASEAN All-Stars tetap turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok dengan tekad tinggi untuk memberikan cabaran terbaik kepada Manchester United dalam perlawanan persahabatan Maybank Challenge Cup 2025.

Ketua jurulatih pasukan, Kim Sang Sik yang juga pengendali skuad kebangsaan Vietnam, menegaskan bahawa semangat yang ditunjukkan oleh para pemain dari pelbagai negara ASEAN cukup membanggakan walaupun masa persiapan agak terhad.

“Kesemua pemain berada dalam keadaan fizikal yang baik. Mereka datang dari pelbagai negara di rantau ASEAN, tetapi komited untuk bekerja keras. Kami hanya sempat mengadakan satu sesi latihan setakat ini, namun mereka sangat serius dan mahu menang dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

sidang media, pra perlawanan Maybank Challenge Cup 2025, petang Selasa di Kuala lumpur.

Beliau turut menyifatkan aksi menentang pasukan gergasi seperti Manchester United bukan sahaja sebagai peluang keemasan, tetapi juga satu cabaran besar yang harus disahut dengan persiapan mental dan taktikal yang rapi.

“Kami perlu bersedia dengan baik dan cuba menjayakan perlawanan yang bagus esok. Ini adalah peluang besar untuk para pemain ASEAN menunjukkan kualiti mereka di pentas antarabangsa,” ujar Kim yang baru dilantik menerajui Vietnam pada awal tahun ini.

Gabungan pemain dari negara-negara Asia Tenggara dalam satu pasukan adalah satu pendedahan menarik yang bukan sahaja mempamerkan bakat serantau, malah memperkukuhkan identiti bola sepak ASEAN sebagai satu komuniti bersatu.

Trofi Maybank challenge Cup 2025 yang menjadi taruhan esok.

Dengan kehadiran nama-nama besar seperti Sergio Aguero selaku kapten dan beberapa bintang utama liga tempatan dan serantau, pasukan ASEAN All-Stars dilihat mampu memberi saingan kompetitif kepada skuad kendalian Ruben Amorim yang dibarisi pemain bintang Liga Perdana Inggeris.

Aksi malam esok dijangka mencuri tumpuan bukan hanya kerana kehadiran Manchester United selepas 16 tahun, tetapi juga sebagai simbol kesatuan bola sepak Asia Tenggara.

TAMAT