PENYOKONG yang bakal membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan aksi panas antara Manchester United dan ASEAN All-Stars dalam Maybank Challenge Cup 2025 malam esok tidak perlu risau tentang perjalanan pulang kerana Rapid Rail Sdn Bhd mengumumkan bahawa operasi Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam.
Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran pergerakan lebih 80,000 peminat yang dijangka hadir menyaksikan perlawanan bersejarah itu, yang menandakan kemunculan semula skuad Red Devils di Malaysia selepas 16 tahun.
Bagi menyokong lanjutan ini, waktu operasi di stesen pertukaran utama juga akan disesuaikan, manakala stesen lain akan ditutup seperti biasa. Namun, pengguna masih boleh keluar di mana-mana stesen meskipun waktu operasi rasmi tamat.
Rapid Rail turut menempatkan kakitangan tambahan di lokasi strategik bagi membantu menguruskan aliran penyokong dan memastikan pergerakan dalam stesen berjalan lancar.
Penyokong turut digalakkan menggunakan kad Touch ‘n Go dengan baki mencukupi atau alternatifnya, membeli Pas MyCity yang boleh didapati di semua kaunter khidmat pelanggan Rapid KL untuk perjalanan tanpa gangguan.
Sebagai persediaan awal, peminat juga disaran memuat turun aplikasi PULSE Rapid KL dan mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid KL untuk maklumat terkini serta perancangan perjalanan yang lebih efisien.
Dengan kehadiran bintang-bintang ternama seperti Mason Mount, Kobbie Mainoo dan Harry Maguire dalam aksi penuh prestij ini, kerjasama antara pengendali pengangkutan dan peminat bola sepak adalah kunci untuk menjadikan malam 28 Mei bukan sekadar perlawanan tetapi satu pengalaman luar biasa.