ANGKA 2.6 juta penonton yang dicatatkan ketika final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim dan Terengganu di semua platform rangkaian televisyen berbayar Astro menjadi semangat untuk mereka mengukuhkan dan menambah baik kandungan penyiaran untuk musim Liga Malaysia 2024-25.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, pelbagai kandungan lebih segar sudah dirangka termasuk menjemput lebih ramai pakar dan legenda bola sepak untuk memberikan kelainan pada setiap siaran.

“Kami gembira untuk musim pertama siaran Liga-M apabila berjaya mencatatkan sembilan juta tontonan komprehensif termasuk kualiti siaran yang lebih baik dalam definisi tinggi (HD) di semua platform kami.

Euan Smith (tiga dari kiri) ketika Program Demi Rimba Kita 2024

“Kami mahu terus menambah baik pengalaman kepada penonton dan musim depan lebih banyak akses pemain, temubual dan program siaran yang menarik untuk memacu kemeriahan Liga Malaysia,” katanya ketika ditemui di Program CSR Demi Rimba Kita pada Khamis.

Dalam pada itu, Euan berkata, program CSR bertemakan alam sekitar, ‘Demi Rimba Kita’ yang pertama kali diadakan itu juga bertujuan sebagai ‘pemanas badan’ untuk Liga Malaysia serta membina hubungan baik antara ‘pundit’ bola sepak Astro bersama rakan-rakan media yang terlibat.

“Kami mahu memberikan kesedaran mengenai pendidikan perubahan iklim dan menggabungkan kemeriahan Liga Malaysia dan CSR ini bersama pakar dan legenda bola sepak negara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Astro, Euan Smith

Liga Malaysia akan membuka tirai pada 10 Mei 2024 dengan bakal diserai 14 pasukan yang cuba menyekat kemaraan Johor Darul Ta’zim untuk muncul juara buat kali kesebelas berturut-turut.