KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menegaskan pintu tidak pernah tertutup untuk pengambilan atlet naturalisasi atau warisan bagi memperkuat skuad kebangsaan, namun pembangunan bakat tempatan kekal sebagai teras utama dalam hala tuju sukan negara.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, kemasukan pemain naturalisasi tertakluk kepada syarat ketat termasuk kelulusan sah kewarganegaraan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selain mematuhi kriteria badan sukan antarabangsa dan persatuan kebangsaan.

Katanya, keberkesanan pendekatan ini sudah terbukti, khususnya dalam bola sepak apabila tiga pemain naturalisasi membantu Harimau Malaya menewaskan Vietnam 4-0 pada aksi kelayakan Piala Asia, Jun lalu – kemenangan pertama ke atas lawan itu sejak 2014.

“Pemain naturalisasi berfungsi sebagai pemboleh ubah prestasi yang mampu memberi impak positif, tetapi dalam masa sama, ia tidak boleh menjejaskan hala tuju pembangunan bakat tempatan. Keseimbangan ini amat penting,” jelasnya ketika menjawab soalan di Parlimen.

Adam Adli menambah, setiap persatuan sukan kebangsaan (PSK) perlu bijak mengurus pengambilan pemain naturalisasi agar ia melengkapi pembangunan akar umbi, bukan menggantikan peluang atlet tempatan.

Menyentuh soal cadangan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk menggunakan dua pemain naturalisasi dan seorang pemain warisan menjelang Sukan SEA Thailand hujung tahun ini, beliau menegaskan KBS tidak mempunyai halangan, namun keputusan akhir tetap bergantung kepada KDN mengikut prosedur ditetapkan.

“Jika semua syarat dipatuhi, tiada masalah untuk mana-mana persatuan menggunakan atlet naturalisasi. Apa yang penting, pembangunan bakat tempatan tidak boleh diketepikan,” tegasnya.

Foto:Bernama