WALAUPUN perlawanan Liga Super antara PDRM FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah beberapa minggu berlalu, namun aura positif masih tersemat di jiwa pemain Sang Saka Biru selepas meraih keputusan seri 1-1.

Menurut tonggak pemainnya, Bruno Suzuki mengakui bahawa keputusan perlawanan ketika menentang skuad gergasi Merah Biru itu telah menambah motivasi kepada pasukan.

Sebagai bukti, skuad kendalian P Maniam itu merekodkan keputusan cemerlang 2-1 ketika beraksi sebagai pasukan pelawat menentang Negeri Sembilan FC, pada 11 Ogos lepas.

Aksi antara PDRM FC dan JDT pada perlawanan lepas.

Namun, terdapat satu perkara yang masih belum dilunaskan oleh skuad PDRM FC dimana mereka masih belum mencatatkan sebarang kemenangan di gelanggang sendiri pada aksi Liga Super musim 2024-2025 ini.

“Sekarang kita masih memegang motivasi dan semangat yang tinggi selepas perlawanan bertemu JDT pada akhir bulan lalu, dan menang dengan Negeri Sembilan. Oleh itu, kita sekarang ingin fokus untuk meletakkan PDRM di ‘Top 5’ Liga Super, sekali gus meraih kemenangan di ‘homeground‘.

“Perlawanan malam ini, menentang Kuala Lumpur (KL) City FC adalah waktunya untuk kami mengumpul tiga mata di gelanggang sendiri. Kami yakin kami boleh melakukannya malam ini kerana kita sedang berada di landasar terbaik ketika ini,” ujar Bruno ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Skuad PDRM FC akan bertemu KL City FC, malam ini.

Dalam perkembangan sama, Shahrel Fikri selaku rakan sepasukan turut memegang keyakinan yang sama dengan Bruno Suzuki dalam meraih kemenangan di Stadium Selayang pada malam ini (Jumaat).

“KL City sememangnya satu pasukan yang berpengalaman dan mempunyai pemain yang baik. Saya tidak nafikan itu, tapi saya tetap percaya rakan sepasukan dapat berikan persembahan baik seperti menentang JDT,”kata Shahrel Fikri ketika ditanya.

PDRM FC mempunyai misi penting malam ini bagi mendapatkan kemenangan pertama di ‘home’, dalam aksi Liga Super bertemu rakan Lembah Klang iaitu KL City FC pada jam 9 malam ini.