PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak mempedulikan kecaman para penyokong yang dilihat tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan penyerang import, Ayron Del Valle setakat 11 perlawanan Liga Malaysia musim ini.
Cheng Hoe sebaliknya berkata dia dan barisan kejurulatihan masih yakin dengan kemampuan Ayron dan statistik juga membuktikan dia adalah penyerang yang baik dan apa yang lebih penting adalah bantuannya kepada pasukan ketika beraksi.
Ayron yang dibawa masuk dari Colombia musim ini telah menjaringkan tujuh gol dari 10 perlawanan Liga Super, di kedudukan kedua senarai penjaring terbanyak dibelakang Fernando Forestieri dari Johor Darul Ta’zim.
“Kita tidak boleh lihat dan nilai persembahan dia dalam satu perlawanan tetapi kita perlu lihat secara keseluruhan. Ayron adalah seorang sahaja penyerang dan penjaring pasukan ini dan kalau dilihat dalam 10 perlawanan, dia dah jaringkan tujuh gol dan ini adalah statistik yang baik.
“Kerajinan dia dalam latihan dan perlawanan membuatkan kami barisan kejurulatihan masih lagi yakin dengan dia dan sudah tentu dia boleh tingkatkan lagi prestasi. Pastinya sasaran bagi Ayron adalah untuk jaringkan gol dalam setiap perlawanan, tetapi kalau tidak menjaringkan gol tetapi membantu pasukan untuk memenangi perlawanan, sumbangan itu sangat penting,” kata Cheng Hoe yang ditemui FLASH SUKAN.
Mengenai persiapan Gergasi Merah untuk menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu, Cheng Hoe tidak gusar dengan keadaan cuaca panas ketika ini tetapi dia tetap meneliti keadaan cuaca untuk menyesuaikan dengan corak latihan dan bagi memastikan pemain berada dalam keadaan yang baik.

Tan Cheng Hoe
“Cuaca panas bukanlah alasan kerana kami perlu mempersiapkan diri dalam apa juga keadaan sekali pun. Kami akan sesuaikan latihan ikut cuaca. Jika terlalu panas kami perlu kurangkan intensiti dan pemain juga tahu bagaimana untuk menjaga diri mereka kerana itu adalah tanggungjawab mereka untuk menjaga diri sendiri,” tambahnya.
Selepas tewas 1-2 kepada Sabah sebelum liga berhenti rehat, ini adalah peluang terbaik buat Ayron dan Selangor untuk kembali bangkit mencapai kemenangan namun bukan mudah untuk menghadapi barisan muda Perak yang juga mahu meneruskan momentum kemenangan yang dicapai keatas Kelantan FC.