PELARI pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi memasang impian menamatkan kempen Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun (B-23) Asia 2026 di atas podium apabila turun beraksi di Ordos, China, dari 9 hingga 12 Julai ini.

Pelari berusia 22 tahun itu berkata, keyakinannya meningkat selepas kembali dari Amerika Syarikat dengan keadaan fizikal yang berada pada tahap terbaik selain sudah menyesuaikan diri semula dengan cuaca dan latihan bersama skuad kebangsaan.

“Alhamdulillah, buat masa sekarang semuanya dalam keadaan baik. Keadaan badan saya sangat baik dan saya juga sudah dapat menyesuaikan diri semula dengan cuaca di Malaysia serta membina semula keserasian bersama rakan sepasukan. Sudah lama saya tidak berlari untuk Malaysia, jadi saya sangat teruja dan bersedia untuk beraksi,” katanya.

Azeem menyifatkan kejohanan itu cukup bermakna kerana menjadi penampilan sulungnya di pentas Asia bagi kategori umur selepas tidak berpeluang beraksi pada peringkat B-18 dan B-20.

“Sasaran saya sudah tentu mahu berada di podium dan, jika boleh, memenangi perlumbaan. Itu matlamat saya kerana saya yakin jika terus melakukan apa yang sedang saya lakukan sekarang, insya-Allah semuanya akan berjalan lancar,” katanya.

Beliau dijadual beraksi dalam acara 100m, 200m dan 4x100m dengan kejohanan itu turut dijadikan medan memburu catatan terbaik musim ini sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia.

Terdahulu, Azeem mengesahkan status sebagai pelari pilihan apabila memenangi acara 100m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026 dengan catatan 10.21 saat, sekali gus meraih gelaran ketiganya selepas muncul juara pada edisi 2022 dan 2024.

Kredit Gambar: FB Olahraga Malaysia