Kredit Gambar: ROBERTO SCHMIDT/AFP
KETUA jurulatih Mesir, Hossam Hassan, meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan selepas pasukannya tersingkir daripada Piala Dunia hasil kekalahan dramatik 2-3 kepada juara bertahan, Argentina pada aksi pusingan 16 terbaik.
Mesir berada di landasan terbaik untuk mencipta kejutan apabila mendahului 2-0 sehingga minit ke-79, namun kebangkitan lewat Argentina menerusi jaringan Cristian Romero, Lionel Messi dan Enzo Fernandez memadam impian wakil Afrika itu untuk mara ke suku akhir buat kali pertama.
Selepas perlawanan, Hossam mendakwa beberapa keputusan pengadil dari Perancis, Francois Letexier, telah menjejaskan peluang pasukannya. Antaranya termasuk pembatalan gol kedua Mesir selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) serta kegagalan meneliti satu insiden terjahan di dalam kotak penalti pada penghujung perlawanan.
“Saya tidak yakin dengan keputusan ini. Saya juga tidak yakin dengan apa yang berlaku sepanjang perlawanan ini.
“Saya tidak mahu menggunakan ayat yang indah atau sekadar berkata kami tidak bernasib baik. Kami tidak dilayan dengan adil hari ini. Kami dizalimi,” katanya.
Jurulatih berusia 60 tahun itu turut mendedahkan bahawa Mesir sebelum ini telah menyuarakan bantahan terhadap pelantikan Letexier bagi mengadili perlawanan berkenaan, namun rayuan tersebut tidak diendahkan.
Hossam turut menerima kad kuning pada masa tambahan selepas membantah tindakan pengadil yang enggan merujuk satu lagi insiden kepada VAR, sambil menyifatkan keputusan tersebut sebagai tidak adil.
“Saya hanya berkata ini tidak adil. Mungkin dia menyimpan sesuatu. Sesiapa yang menyembunyikan sesuatu kadang-kadang gagal menutupnya,” katanya lagi.
Selain isu pengadilan, Hossam turut mempersoalkan jadual perlawanan yang berlangsung pada jam 12 tengah hari waktu tempatan di Atlanta, dengan menyifatkan waktu tersebut tidak sesuai untuk aksi berintensiti tinggi di pentas Piala Dunia.
“Saya berani katakan orang yang menjadualkan perlawanan seperti ini tidak pernah bermain bola sepak. Pada tengah hari, anda berjalan-jalan atau menikmati makan tengah hari, bukannya bermain bola sepak.
“Bila pemain perlu makan? Adakah mereka perlu bersarapan pada jam 7.30 pagi untuk bermain pada tengah hari?” katanya.
Beliau turut mendakwa wujud tekanan daripada kem Argentina terhadap pengadil sebelum sepak mula, selain berpendapat Mesir sebenarnya lebih baik sepanjang perlawanan walaupun akhirnya tersingkir.
“Kami lebih baik daripada juara dunia dalam semua aspek tetapi keputusan perlawanan dipengaruhi faktor di dalam dan di luar padang.
“Saya bangga dengan pemain-pemain saya tetapi kami tidak menerima apa yang sepatutnya kami peroleh,” katanya.