Kredit Gambar: Luke Hales / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP

Pemain tengah Belgium, Nicolas Raskin menyifatkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Amerika Syarikat (AS) dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia sebagai satu bentuk “keadilan” selepas kontroversi membabitkan kelayakan penyerang lawan, Folarin Balogun.

Belgium sebelum itu mempersoalkan keputusan FIFA yang membenarkan Balogun beraksi meskipun pemain berkenaan sepatutnya menjalani penggantungan selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Bosnia-Herzegovina pada pusingan sebelumnya.

Mengikut peraturan biasa, kad merah membawa hukuman penggantungan automatik satu perlawanan. Namun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan selepas Jawatankuasa Tatatertib FIFA menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Artikel 27 Kod Tatatertib FIFA sementara kes tersebut melalui proses perundangan.

Keputusan itu mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada Persekutuan Bolasepak Belgium yang mengemukakan rayuan bagi mencabar status kelayakan Balogun sebelum sepak mula, namun usaha tersebut tidak berjaya.

Bagaimanapun, Belgium tidak membiarkan isu berkenaan mengganggu tumpuan apabila mempamerkan aksi meyakinkan untuk menewaskan tuan rumah sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

Raskin mengakui pasukannya merasakan keputusan membenarkan Balogun beraksi tidak memihak kepada Belgium, namun percaya kemenangan itu menjadi jawapan terbaik di atas padang.

“Seperti yang saya katakan, saya percaya sentiasa ada keadilan dalam kehidupan.

“Perkara seperti itu boleh berlaku dan orang boleh menilainya dengan cara masing-masing, tetapi kami merasakan ia bukan sesuatu yang adil.

“Hari ini, saya fikir keadaan sedikit memihak kepada kami. Apa yang penting ialah kami memenangi perlawanan ini dan menyampaikan mesej kami,” katanya.

Belgium kini akan berdepan Sepanyol dalam aksi suku akhir yang dijadual berlangsung di Los Angeles awal pagi Sabtu ini, dengan kedua-dua pasukan memburu tiket ke separuh akhir Piala Dunia.