LIMA atlet para negara yang berjaya menyumbang pingat di Sukan Paralimpik Paris 2024 tetap dihargai apabila 99 Speedmart tampil sebagai ‘penyelamat’ dengan menyalurkan tajaan khas bernilai RM107,000.
Langkah syarikat peruncitan terkemuka itu mendapat pujian ramai selepas isu kelewatan pembayaran ganjaran oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menjadi perhatian umum.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, 99 Speedmart hadir secara sukarela selepas membaca laporan media mengenai lima atlet para yang tidak menerima ganjaran penuh seperti dijanjikan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu atlet para yang menyumbang pingat di Paralimpik Paris, kembali fokus kepada latihan. | FOTO by KBS
Antara yang terbabit ialah jaguh badminton para yang dua kali memenangi emas Paralimpik, Cheah Liek Hou yang sebelum ini meluahkan kekecewaan di media sosial apabila beranggapan dirinya ‘tertipu’ susulan kelewatan MPM membayar RM60,000 yang dijanjikan.
Hannah berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan 99 Speedmart yang diwakili Ketua Pegawai Operasi, Yong Eng Kwang kerana menyalurkan ganjaran tambahan itu terus ke akaun atlet semalam.
Penerima sumbangan ialah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin (emas), Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli (perak), serta Eddy Bernard (gangsa).
“Dengan bayaran tambahan ini, isu berkenaan dianggap selesai dan saya berharap atlet kita dapat kembali fokus terhadap persiapan mereka untuk kejohanan akan datang,” kata Hannah di Menara KBS, Putrajaya.