KEMENANGAN pingat perak Olimpik Tokyo membawa tuah kepada Datuk Mohd Azizulhasni Awang, apabila dinobat Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2020/2021.
Jaguh berbasikal trek berusia 34 tahun itu, menewaskan lima calon lain iaitu Lee Zii Jia (badminton), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Datuk Pandelela Rinong (terjun) dan Rifdean Masdor (Muay Thai).
Anugerah itu yang keempat selepas dimenanginya tahun 2009, 2017, dan 2019.
Selain pingat perak, Azizul turut melakar kejayaan dua pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Berlin 2020, dalam acara keirin dan pecut.
Bintang sukan kesayangan negara itu bagaimanapun tidak hadir, kerana dalam proses pemulihan dari pembedahan jantung di Hospital Epworth Richmond, Melbourne, April lalu.
Sementara itu, atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, dinobat Atlet Para Terbaik.
Pelbagai kejayaan dilakarnya, sepanjang 2020 dan 2021 selain memecahkan rekod paralimpik sekali gus memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dalam acara 72 kilogram.
Selain itu, dia turut memecah rekod dunia pada kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11, di Emiriah Arab Bersaty (UAE).
Kedua-dua atlet terbabit memenangi hadiah RM10,000 yang disampaikan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Anugerah Khas pula diberi kepada mendiang Datuk Sieh Kok Chi dan Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong.
Anugerah Siebel dimenangi wartawan TV3 Al Shaiful Nazib Talib.