PASANGAN penerjun negara Jelson Jabillin dan Hanis Nazirul menggandakan kutipan pingat emas negara di kolam renang pada Selasa apabila memenangi emas dalam kategori 10M Platform Seirama Lelaki di Pusat Akuatik My Dinh.
Kedua-dua mereka berjaya mengikuti jejak langkah Ng Yan Yee yang berjaya menyumbang emas kelima negara menerusi acara 3M Papan Anjal Wanita Individu kira-kira satu jam sebelum itu.
Jelson dan Hanis berjaya memungut 345.93 mata menerusi enam terjunan dengan kualiti terjunan Olimpik. Pingat perak diraih pasangan Singapura manakala gangsa pula dimenangi pasangan tuan rumah.
Emas keenam ini semakin menghampiri sasaran lapan pingat emas dalam acara terjun dengan esok (Rabu) dua lagi acara akhir akan berlangsung sekaligus mengakhiri pertandingan terjun di Temasya Vietnam kali ini.