LEGASI kecemerlangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di bawah kepemimpinan Tan Sri Hamidin Mohd Amin akan terus diperkasa.

Datuk Mohd Joehari Mohd Ayob yang bakal dilantik sebagai Presiden FAM pada kongres pemilihan badan induk itu, 15 Februari depan, mengakui perancangan yang dirangka Hamidin selama ini sudah cukup baik.

“Selama ini, saya sebagai Naib Presiden, kami sentiasa mematuhi apa yang Tan Sri lakukan. Perancangan beliau sudah cukup baik.

“Cuma mungkin kita boleh menambah baik lagi di pelbagai aspek bola sepak negara,” katanya, ditemui pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara FAM dan PUMA di Sunway Piramid.

Beliau juga berterima kasih kepada ahli gabungan atas sokongan dan pencalonan mereka, sambil berjanji untuk membawa FAM ke tahap yang lebih tinggi.

Datuk Mohd Joehari mahu meneruskan kesinambungan kecemerlangan bola sepak negara.

Dalam usaha meneruskan legasi Hamidin, Joehari berkata, beliau akan terus mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Hamidin, yang telah menjadi mentornya selama tujuh hingga lapan tahun.

“Nasihat Tan Sri sentiasa ada, dan kita belajar banyak perkara daripadanya sepanjang tempoh ini. Selepas ini juga, kita akan terus mendapatkan pandangan beliau untuk memastikan kesinambungan kecemerlangan bola sepak negara,” tambahnya.

Beliau juga bersemangat untuk melaksanakan inisiatif baru, termasuk projek revolusi Harimau Malaya yang memperkenalkan unit khas untuk memantapkan skuad kebangsaan.

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh bola sepak Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang.