Kredit Gambar: Thomas Coex/AFP
Impian Cristiano Ronaldo untuk menamatkan karier Piala Dunia dengan menjulang trofi paling berprestij dalam bola sepak akhirnya tidak kesampaian apabila Portugal tersingkir di pusingan 16 terbaik selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol.
Jaringan Mikel Merino pada minit ke-91 memisahkan kedua-dua pasukan, sekali gus menutup tirai penampilan terakhir Ronaldo di pentas Piala Dunia selepas enam edisi bersama skuad kebangsaan.
Sehari sebelum perlawanan, penyerang berusia 41 tahun itu mengesahkan edisi 2026 merupakan Piala Dunia terakhirnya. Walaupun gagal mencapai impian terbesar dalam kariernya, Ronaldo menegaskan beliau tidak menyesali perjalanan yang ditempuh sepanjang lebih dua dekad bergelar pemain profesional.
Pengendali Portugal, Roberto Martinez, menyifatkan kapten pasukan itu sebagai ikon bola sepak yang sentiasa memberikan inspirasi kepada rakan sepasukan, selain memuji komitmen dan kepimpinannya sepanjang kejohanan.
“Kami sentiasa berterima kasih atas segala usaha yang diberikannya. Impiannya adalah untuk memenangi Piala Dunia dan dia berjuang sehingga ke penghujung sebagai seorang kapten yang menunjukkan contoh kepimpinan luar biasa.
“Dia adalah ikon bola sepak dunia dan tidak ramai pemain mampu meninggalkan legasi seperti Cristiano Ronaldo,” katanya.
Sepanjang enam penampilan di Piala Dunia sejak 2006, Ronaldo mengumpul 27 penampilan dan menjaringkan 11 gol. Edisi kali ini turut menyaksikannya meledak gol pertama dalam aksi kalah mati Piala Dunia ketika membantu Portugal menewaskan Croatia pada pusingan 32 terbaik.
Pencapaian terbaik Ronaldo di kejohanan itu kekal ketika membantu Portugal mara ke separuh akhir Piala Dunia 2006 di Jerman. Namun, berbeza dengan Lionel Messi yang akhirnya menjulang trofi bersama Argentina pada 2022, gelaran juara dunia terus menjadi impian yang gagal direalisasikan pemain legenda Portugal itu.
Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente turut memberikan penghormatan kepada Ronaldo dengan menyifatkannya sebagai contoh terbaik kepada generasi baharu pemain bola sepak.
“Saya amat mengagumi nilai yang dibawanya serta profesionalisme yang ditunjukkan sepanjang kariernya. Dia menjadi contoh yang sangat baik kepada pemain muda dan saya berbangga dapat mengenalinya,” katanya.
Walaupun menutup karier Piala Dunia tanpa trofi yang paling diidamkan, Ronaldo tetap meninggalkan legasi luar biasa sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak, dengan pencapaian dan pengaruhnya terus dikenang peminat di seluruh dunia.