Arsenal menamatkan penantian dua dekad untuk kembali ke final Liga Juara-Juara UEFA selepas menewaskan Atletico Madrid 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Jaringan tunggal Bukayo Saka pada penghujung babak pertama sudah cukup untuk memastikan kemenangan, sekali gus membawa The Gunners mara dengan agregat 2-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan pertama di Madrid.
Skuad kendalian Mikel Arteta mempamerkan disiplin tinggi di bahagian pertahanan untuk mengekalkan kelebihan tersebut hingga wisel penamat, sekali gus melangkah ke final buat kali pertama sejak 2006.
Menanti Arsenal di pentas final nanti adalah pemenang satu lagi separuh akhir antara Paris Saint-Germain dan Bayern Munich, dengan aksi penentuan dijadual berlangsung di Budapest pada 30 Mei ini.
Gol kemenangan hadir pada minit ke-44 hasil gerakan tersusun yang bermula daripada Viktor Gyokeres sebelum bola sampai kepada Leandro Trossard. Percubaan Trossard yang ditepis Jan Oblak membuka ruang kepada Saka untuk menolak masuk dari jarak dekat.
Sebelum itu, Atletico hampir mengejutkan tuan rumah menerusi Julian Alvarez dan Giuliano Simeone, namun kedua-dua peluang gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Kejayaan ini meletakkan Arsenal dalam landasan terbaik untuk melakar sejarah baharu, memandangkan kelab itu masih belum pernah menjuarai Liga Juara-Juara.
Lebih menarik, musim ini turut membuka peluang untuk mereka memburu gelaran berganda selepas berada dalam kedudukan baik dalam saingan liga domestik.
Sokongan padu penyokong di Emirates turut menjadi pemangkin apabila suasana meriah tercipta sejak sebelum sepak mula, sekali gus membantu meningkatkan semangat pemain di atas padang.
Arsenal kini hanya selangkah lagi untuk menamatkan penantian panjang menjulang trofi paling berprestij di Eropah.
Sumber Gambar: FB Arsenal