SELEPAS undian rasmi Kelayakan Piala Asia Saudi Arabia 2027 diumumkan pada Isnin, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor (TMJ), tampil memberikan pandangan strategik bagi memastikan Harimau Malaya mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan F bakal menghadapi cabaran baru menentang Vietnam, Nepal, dan Laos.

Namun, TMJ percaya skuad negara mampu mengatasi cabaran ini dengan pendekatan yang bijak dan tersusun.

Beliau menegaskan kepentingan falsafah permainan yang sesuai dengan kekuatan pemain tempatan yang sedia ada.

“Sistem atau falsafah yang sesuai dengan pemain yang ada. Lebih berstruktur, menyerang dan bertahan sebagai satu pasukan. Disiplin adalah kuncinya, InshaAllah boleh,” kata TMJ yang dipetik daripada akaun rasmi miliknya.

Dalam masa yang sama, TMJ mencetuskan perbincangan hangat dengan menyebut potensi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson, yang boleh dinaturalisasi bagi memperkuat pasukan kebangsaan.

Menurut beliau, pemain tersebut layak untuk proses naturalisasi selepas lima tahun berada di Malaysia.

Justeru, beliau juga menamakan Hidalgo sebagai prospek jangka panjang yang mampu membawa dimensi baharu kepada skuad Harimau Malaya.

“Bergson boleh dinaturalisasi sebagai langkah jangka pendek selepas melengkapkan 5 tahun di Malaysia, Hidalgo pula untuk jangka masa panjang, bersama pemain-pemain lain yang ada. Pemain-pemain JDT semuanya sudah bersedia.

“Ia bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan masa, tetapi perlu dimulakan sekarang, termasuk membangunkan kerangka pembangunan untuk jangka masa panjang,” tambah beliau.

Selain itu, TMJ turut menekankan peranan jurulatih baharu dan sporting director dalam mengatur langkah seterusnya.

Mereka kini sedang giat mengumpul data pemain tempatan dalam Liga Super serta bakat Malaysia yang beraksi di luar negara. Namun, baginda mengingatkan bahawa kejayaan memerlukan masa dan kesabaran.

Dengan sokongan penuh TMJ dan perancangan strategik yang teliti, Harimau Malaya diharap mampu mencipta kejayaan baharu dan memberi sinar harapan kepada peminat bola sepak tempatan.

Impian untuk melihat Bergson bakal menyarung jersi kebangsaan akan terjadi? Sama-sama kita nantikan perkembangan ini.