KAPTEN Harimau Malaya, Dion Cools menegaskan bahawa fokus utama skuad kebangsaan kini hanyalah satu, memastikan Malaysia mara ke pentas Piala Asia 2027.

Dalam sidang media pra-perlawanan menentang Laos semalam, pemain pertahanan itu menzahirkan keyakinan terhadap persiapan pasukan yang disifatkannya berada pada tahap terbaik menjelang aksi penting di Stadium Nasional New Laos.

“Kami berada dalam persiapan yang sangat baik. Latihan telah dijalankan dengan rapi, perbincangan taktikal juga berjalan lancar. Saya rasa seluruh pasukan sudah bersedia, termasuk diri saya sendiri,” katanya dengan nada optimis.

 

Dion turut menegaskan bahawa perlawanan menentang Laos bukan sekadar aksi biasa, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjalanan penting Malaysia untuk mencapai matlamat jangka panjang iaitu layak ke Piala Asia.

“Ini satu lagi langkah ke arah sasaran utama kami, iaitu mara ke pusingan akhir. Jadi kami perlu benar-benar bersedia dan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan ini,” ujarnya.

Pemain berusia 28 tahun itu turut menyeru rakan sepasukan agar mengekalkan disiplin dan fokus sepanjang 90 minit permainan, selain terus memperagakan semangat berpasukan yang menjadi tunjang kekuatan Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Clamovski.

Malaysia kini menghuni tangga teratas kumpulan selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut, dan kemenangan ke atas Laos malam ini bakal mengukuhkan kedudukan negara menuju ke pentas benua.

Biarpun skuad kebangsaan berdepan tekanan luar padang susulan isu pemain warisan, Dion menegaskan bahawa fokus pasukan tidak pernah tergugat dan misi utama tetap sama, membawa Malaysia terus melangkah ke pentas Asia.