EMPAT perlawanan, empat kemenangan, dan kini hanya Vietnam berdiri di depan laluan Malaysia menuju pentas Piala Asia B-17 2026. Itu mesej tegas ketua jurulatih Harimau Malaya B-16, Javier Jorda Ribera selepas skuad muda negara menewaskan Singapura 2-1 pada aksi keempat Kumpulan C di Hanoi, petang semalam.
Ribera mengakui Singapura sentiasa menjadi lawan yang sukar, namun Malaysia turun dengan satu mindset: kekal mengawal nasib sendiri sebelum aksi penentu dengan Vietnam malam esok.

“Kami tahu kelayakan akan ditentukan melalui perlawanan terakhir. Hanya kemenangan yang membawa kami ke Arab Saudi 2026,” katanya.
Malaysia bermula garang dengan tumpuan tinggi kepada perancangan taktikal, dan jaringan seawal minit ke-4 membantu mereka mendominasi separuh masa pertama. Ribera menyifatkan pasukannya tampil kemas dalam penguasaan bola dan bertahan, sambil mencipta tiga peluang jelas sebelum mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua menjelang rehat. “Kami tidak beri Singapura peluang jelas untuk bangkit,” ujar beliau.

Namun babak kedua tidak semudah dijangka. Malaysia terpaksa melakukan pertukaran awal, manakala Singapura mengubah tekanan tinggi mereka sehingga membuatkan perlawanan menjadi lebih terbuka, mirip situasi aksi menentang Hong Kong sebelum ini. Singapura merapatkan kedudukan menerusi gol langsung daripada sepakan penjuru, sebelum meningkatkan tekanan pada minit-minit akhir.
“Kami perlu lebih konservatif supaya tidak membuka ruang dan membazir tenaga, terutama dengan perlawanan penting yang menanti,” tambah Ribera yang berpuas hati dengan disiplin anak buahnya menutup permainan.

Segala fokus kini terarah kepada pertembungan terakhir menentang Vietnam, yang beraksi selepas Malaysia dan mengetahui kiraan gol yang mereka perlukan untuk menjadikan keputusan seri sebagai pilihan. Bagi Ribera, hanya satu strategi: menang, dan tamatkan kempen kelayakan dengan penuh bergaya.
“Ahad ini penentunya. Kami sudah bersedia untuk mencabar Vietnam,” tegasnya.
Malaysia kini semakin hampir cuma tinggal satu perlawanan untuk merebut tiket ke Arab Saudi 2026.