AKSI persahabatan antara Malaysia dan Papua New Guinea pada Rabu menyaksikan skuad Harimau Malaya berpesta gol setelah menewaskan lawannya sehingga 10-0.

Menurut perkongsian daripada jurulatih bola sepak berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah menggamit kembali sejarah Malaysia yang pernah menewaskan Papua New Guinea 10-1 dalam Pra Olimpik 1976 di Jakarta.

Skuad Malaysia 1976. Sumber : FB Azraai Khor

Azraai yang ketika itu berada dalam skuad negara, mengakui berlaku perubahan pada pasukan Papua New Guinea selepas 47 tahun berlalu namun masih berada di peringkat semi-pro.

“Masa 1976, Papua New Guinea masih lagi baru dalam dunia bola sepak dan pertama kali bertanding ketika itu dalam bentuk karnival di Jakarta.

“Melalui pemerhatian saya, waktu itu mereka lemah dari segi persediaan memandangkan ianya sukan yang baru buat mereka. Tahap mereka dalam sukan bola sepak boleh kita jangkakan,” kata Azraai kepada FLASH SUKAN.

Azraai Khor

Azraai, 71, juga menekankan, bola sepak bukan satu sukan yang utama buat Papua New Guinea dan perbezaan yang berlaku pada perlawanan 1976 berbanding pada Rabu lalu mempunyai sedikit peningkatan buat skuad berkenaan.

Melalui gambar yang dikongsikan, turut berada dalam skuad menentang Papua New Guinea pada 1976 ialah Raja Bola, Tan Sri Datuk Abdul Ghani Minhat, Datuk Harun Idris, dan Irfan Bakti.

Sumber: FB Azraai Khor

Menjawab perkembangan terkini, Azraai membuat keputusan untuk berhenti menjadi jurulatih dan kini lebih aktif melalui siaran serta pundit. Kali terakhir beliau menjadi jurulatih adalah bersama Kelantan FA.

Azraai Khor bersama Kelantan FA

Sebelum ini dia pernah membimbing pasukan Negeri Sembilan dan Kedah. Bersama Kedah, beliau cemerlang membawa pasukan itu menjuarai Piala Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia untuk dua musim berturut iaitu pada 2007 dan 2008.