DENGAN memenangi satu pingat perak dan gangsa pada Kejohanan Boling Padang Kebangsaan Singles, Pairs, Triples, Fours 2024, ia menandakan berakhirlah usaha buruan emas untuk tahun ini.

Bagi ratu boling padang negara, Aleena Ahmad Nawawi menyifatkan tahun 2024 sebagai tahun yang kurang menyinar, meskipun pelbagai kejohanan dan pingat yang sudah berjaya dirangkul olehnya.

Malah baru-baru ini, Aleena berjaya menambah koleksi pingat pada Kejohanan Kebangsaan yang berlangsung di Bukit Kiara, menyaksikan dirinya memperoleh pingat gangsa bagi acara individu dan gangsa (berpasangan).

Kejohanan berkenaan merupakan acara terakhir Aleena untuk tahun ini, dan atlet muda itu terpaksa akur dengan pencapaian yang sedia ada bagi menutup buku 2024.

“Tahun ini kalau mengikut kepada situasi saya mewakili Malaysia, pencapaian saya agak menurun sedikit. Ia kerana pencapaian saya hanya di Kejohanan Asia, Pattaya.

“Tetapi kalau untuk kejohanan dalam negara, saya rasa agak memuaskan untuk momentum saya setakat ini. Saya cuma perlu menaikkan lagi prestasi saya untuk perlawanan-perlawanan diluar.

Aleena akan kembali fokus untuk saingan tahun 2025 akan datang.

“Untuk kejohanan baru ini, saya bersyukur tetapi tidak berpuas hati kerana masih gagal mendapatkan gelaran juara individu. Tetapi Alhamdulillah saya dapat kekalkan ranking ‘top 3’ dalam Malaysia,” ujar Aleena kepada FLASH SUKAN.

Secara keseluruhan untuk tahun 2024, Aleena berjaya meraih tujuh pingat yang terdiri daripada lima pingat emas, satu gangsa dan satu perak daripada kesemua kejohanan antarabangsa dan dalam negara yang dia sertai.

Selepas ini, Aleena bakal kembali fokus untuk acara Kejohanan Asia di Filipina 2025, dan mahu mengekalkan momentum terbaiknya untuk terpilih dalam saingan berkenaan.