BERBICARA tentang bola sepak kebangsaan, nama Ahmad Fakri Saarani begitu sinonim dengan sukan nombor satu dunia tersebut kerana pernah menyarung jersi kebangsaan serta turut beraksi bersama beberapa pasukan besar dalam liga tempatan sebelum ini.
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, kredibilitinya sebagai pemain bola sepak telah diikuti adiknya, Nur Haniza Saarani yang juga seorang pemain bola sepak dan futsal bagi pasukan wanita kebangsaan.
Perkongsian Haniza bersama FLASH SUKAN jelas menggambarkan minatnya yang mendalam telah menyebabkan dia terpilih mewakili skuad kebangsaan sejak kecil lagi.

Haniza Saarani meraikan kejayaan merangkul gelaran Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 bersama Melaka United FC.
Meskipun sering dimarahi ibu dan bapanya kerana berpenampilan seperti lelaki dan menyukai sukan lasak, Haniza tidak pernah menganggap ianya sebagai halangan untuk meneruskan cita-citanya dalam sukan tersebut.
Ditanya sekiranya tidak bergelar atlet, kerjaya pilihannya adalah menjadi seorang polis memandangkan kerjaya tersebut juga memerlukan disiplin dan integriti yang tinggi.
“Memang minat, dulu dari kecil selalu curi-curi main bola dengan kawan-kawan lelaki. Balik rumah sahaja kantoi mesti kena belasah dengan arwah mak. Getah paip ke hanger, apa-apa bendalah yang diberinya sekali, tapi esok saya main juga. Arwah emak pun dah putus asa dengan anak perempuannya.
“Lepas arwah emak meninggal, abah yang banyak beri dorongan. Dia hantar ke sana ke sini untuk tunjuk bakat anaknya yang tidak serupa perempuan ini. Kasut futsal dulu pakai kasut sekolah sahaja.

Nur Haniza Saarani (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan.
“Selepas dapat mewakili Perak untuk Sukan Malaysia (SUKMA), abah belikan kasut futsal pertama saya dalam hidup. Saya seorang perempuan yang lasak dan memang meminati sukan ekstrem seperti bermain bola.
“Saya memang minat kerjaya polis sebab kalau hendak dibandingkan dengan bidang yang saya ceburi sekarang ini juga tidak jauh beza.
“Pertama polis memang sesuai dengan cara saya yang lasak. Sebagai polis, perkara paling penting adalah disiplin. Sama juga dengan atlet, hendak jadi atlet yang berjaya haruslah menjaga disiplin, tanpa disiplin memang tidak akan pergi jauh,” ujarnya semasa ditemubual.

Bekas penyerang bola sepak kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani adalah abang kepada Haniza.
Sementara itu, dia mengakui abangnya turut merupakan antara tunjang kejayaannya bersama pasukan kebangsaan dan negeri yang diwakilinya.
Pemain Melaka United FC itu turut dinasihati abangnya agar melakukan sesuatu dengan sepenuh hati dan ikuti naluri diri sendiri terhadap apa yang diminati.
“Abang saya dia tidak kisah saya ceburi apa-apa bidang. Dia selalu menasihati saya agar fokus kepada apa yang diminati dan lakukan dengan sepenuh hati. Jangan buat separuh jalan.
“Dia memang sumber inspirasi saya. Nasihat yang dia selalu pesan, buat sesuatu itu biar sampai jadi, jangan hanya angan-angan mat jenin,” katanya.

Haniza dilihat elegan memperagakan jersi kebangsaan.
Lebih manis lagi, baru-baru ini pemain kelahiran Perak tersebut berjaya merangkul kejuaraan berturut-turut bersama pasukan Melaka United FC dalam Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 yang diadakan di dua venue berbeza iaitu Setia Alam dan Cheras.
Untuk rekod, pemain kelahiran Perak itu pernah menjuarai beberapa kejohanan besar di peringkat domestik termasuk SUKMA, MAKSAK, Piala Tun Sharifah Rodziah dan beberapa kejohanan lain.
Kecemerlangannya turut dikesan di peringkat antarabangsa apabila bermain dalam beberapa edisi Sukan SEA, Kejohanan AFF, termasuk menjadi juara FAS Women’s Development Tournament 2017 di Singapura.