PASUKAN berbasikal Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencipta detik bersejarah apabila buat julung kalinya merangkul pingat emas di pentas Karnival Sukan Badan Berkanun (Sukanun) 2025 yang berlangsung di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Kemenangan itu hadir selepas saingan sengit dalam acara berbentuk criterium yang menghimpunkan lapan pasukan dengan keseluruhan 44 pelumba dari pelbagai agensi kerajaan.

Pengurus pasukan, Norhilman Nordin, mendedahkan kejayaan itu bermula daripada persiapan rapi sejak saingan dalaman UiTM iaitu KARiSTA 2025 di UiTM Cawangan Perlis pada awal September. Katanya, semua pengayuh yang dipilih adalah pemenang pingat dari kejohanan tersebut sebelum disatukan sebagai skuad mantap merangkumi staf UiTM dari Kelantan, Perlis, Perak, Selangor dan Sarawak.

“Pada awalnya, sasaran kami sekadar podium tempat ketiga sahaja. Tetapi dengan kerjasama erat serta keserasian pasukan, kami berjaya melangkaui jangkaan dan muncul juara. Lebih membanggakan apabila kami menewaskan DBKL yang menurunkan bekas pelumba negara,” katanya.

UiTM menamatkan saingan dengan penuh bergaya apabila meninggalkan pesaing terdekat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan perbezaan lapan saat, manakala DBKL yang turun dengan reputasi besar sekadar berpuas hati di tempat ketiga, 11 saat ketinggalan. Pingat emas tersebut juga menjadi emas pertama buat kontinjen UiTM sepanjang penganjuran Sukanun edisi kali ini.

 

Karnival yang bermula 9 September lalu dan dijadual melabuhkan tirai pada 13 September ini menampilkan 16 acara sukan yang disertai seramai 3,702 atlet serta 616 pegawai daripada 58 agensi kerajaan. Prestasi cemerlang pasukan berbasikal UiTM ini sekali gus membuktikan kemampuan mereka bersaing di pentas lebih besar dan menjadi titik tolak kebangkitan kontinjen universiti itu dalam edisi-edisi akan datang.

Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama UiTM sebagai kuasa baharu dalam sukan berbasikal di peringkat badan berkanun, malah menjadi simbol bahawa kesungguhan dan strategi yang tepat mampu menafikan dominasi pasukan berpengalaman sekali gus mencipta sejarah tersendiri.