KETUA pasukan Selangor FC, Brendan Gan mengakui mereka tidak cukup bagus pada babak pertama ketika bertemu PDRM FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Khamis.

Bagaimanapun dia berbangga apabila melihat kesemua pemain menunjukkan sikap dan karektor positif hingga mampu bangkit dari ketinggalan 1-0 untuk menang dengan keputusan 1-4.

“Kami tidak cukup bagus pada babak pertama hingga kami tidak dapat bermain permainan kami dan tidak cukup pantas. tetapi pada babak kedua kami berjaya mengubah sikap dan karektor dan perkara inilah yang buat saya bangga dengan rakan-rakan sepasukan.

“Selepas ini kami perlu melihat pada diri kami semula dengan menonton tayangan video untuk terus menambah baik pasukan bagi menghadapi PDRM pada perlawanan kedua nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Brendan juga berharap agar mereka mampu memenangi perlawanan kedua seterusnya layak ke suku akhir dengan kesemua pemain dalam keadaan bersedia diturunkan pada bila-bila masa dan mengikut posisi yang ditetapkan barisan kejurulatihan.

“Saya rasa kita ada pemain-pemain yang berkualiti dalam pasukan, kita bukanlah pasukan yang mengharapkan kepada seorang pemain sahaja dengan semua perlu bersedia untuk diturunkan bila-bila masa dan bermain di mana-mana posisi yang jurulatih mahukan,” tambahnya.

Brendan juga tidak peduli sama ada dia berjaya menjaringkan gol atau tidak kerana dia percaya aksi berpasukan lebih penting dan ramai di dalam skuad yang memiliki kualiti sebagai penjaring.