PENANG FC meneruskan kecemerlangan dalam saingan Piala Cabaran dengan kemenangan agregat 6-0 selepas menewaskan PT Athletic 2-0 dalam aksi kedua di gelanggang sendiri.

Namun, kemenangan menerusi dua jaringan penalti ini tidak sepenuhnya memuaskan hati jurulatih pasukan, Wan Rohaimi Wan Ismail.

“Dari segi keputusan, kita capai matlamat tapi dari segi keseluruhan prestasi, saya kurang puas hati.

“Banyak keputusan yang dibuat pemain kurang tepat dan ini mengganggu kelancaran perlawanan malam ini,” katanya.

Wan Rohaimi menambah bahawa Penang FC perlu melakukan banyak penambahbaikan sebelum perlawanan penting yang akan datang, terutamanya bertemu Perak dalam aksi Liga Malaysia pada 12 Januari nanti.

“Kita akan hadapi perlawanan yang lagi kuat, lagi penting terutama yang akan datang ni menentang Perak di halaman kita.

“Jadi macam saya cakap tadi, banyak kerja untuk saya betulkan dalam masa lebih kurang 20 hari ini,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai momentum pasukan menjelang perlawanan-perlawanan penting selepas ini, Wan Rohaimi berkata dia sedikit lega melihat peningkatan prestasi selepas perlawanan menentang Kedah meskipun tewas.

Namun, dia meluahkan kebimbangan terhadap aksi kurang lancar pasukannya dalam perlawanan menentang Putrajaya  Athletic.

“Selepas perlawanan dengan Kedah, saya nampak sinar di hujung terowong walaupun kita kalah, momentum pasukan tengah naik.

“Tetapi malam ini nampak macam ada yang kurang mungkin mereka ambil mudah bila first leg kita dah menang 4-0,” ujarnya.

Penang FC akan menantang Perak FC pada 12 Januari nanti di halaman mereka sendiri

Selain itu, Wan Rohaimi turut mengingatkan pemainnya agar tidak memandang rendah cabaran seterusnya dan berazam untuk memperbaiki beberapa kelemahan pasukan, terutamanya dalam penyudah peluang.

“Saya rasa mungkin pemain fikir bola perlu pecahkan jaring untuk dikira gol, sedangkan cukup bola melintasi garisan.

“Banyak peluang yang kita sia-siakan malam ini dan InsyaAllah dalam masa 20 hari ini, kita akan siapkan pasukan untuk bertemu Perak serta kehadiran Syamir Kutty nanti saya harap dapat membantu memperkuatkan pasukan,” tambahnya.

Dengan rehat liga selama dua minggu, Penang FC kini berpeluang untuk memperbaiki kelemahan dan mengekalkan momentum menjelang pertemuan dengan Perak FC pada 12 Januari nanti. 

Penang FC kini berada di landasan tepat untuk meneruskan rentak positif, tetapi cabaran sebenar mereka adalah memastikan konsistensi dan disiplin pasukan untuk aksi yang lebih mencabar.