SEMPENA sambutan  perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, Brendan Gan turut melepas peluang menyambutnya bersama keluarga di Malaysia.

Mengikut kalendar Qamari, zodiak pada tahun ini adalah Arnab sekaligus memperlihatkan seseorang itu harus menggunakan kepintaran dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau isu dalam kehidupan.

Menurut Brendan, sambutan Tahun Baru Cina kali ini akan diraikan bersama ibu dan bapanya yang turut berada di Malaysia pada tahun ini.

Namun kali ini perayaan tersebut akan disambut kecil-kecilan sahaja memandangkan tugas getir menanti Brendan yang bakal menjadi tonggak bagi skuad Selangor FC menjelang musim Liga Malaysia bermula 24 Februari ini.

“Sudah tentu, ibu dan bapa saya kini berada di sini. Kami akan ada sedikit perayaan kecil-kecilan di sini. Tetapi sekali lagi kita harus ingat pra musim kali ini, kita akan ada banyak latihan.

“Tidak banyak hari yang boleh kita cuti,” kongsinya.

Sebelum ini, Brendan merupakan antara tonggak prolifik Gergasi Merah dan dipanggil membantu skuad kebangsaan dalam Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric yang menyaksikan Harimau Malaya menamatkan saingan di peringkat separuh akhir.

Nada sama turut dizahirkan pengendali Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe yang akan menyambut perayaan tersebut secara sederhana tahun ini kerana mengutamakan tugasnya bersama Selangor FC menjelang saingan liga musim ini.

“Saya rasa fokus saya adalah dengan pasukan jadi kalau sambutan tahun baharu Cina adalah sederhana sahaja.

“Seperti biasa saya akan balik kampung untuk satu hari atau dua hari punya cuti, selepas itu kembali bertugas dengan pasukan,” katanya.