“ONE cannot be tired when it comes to winning”, inilah ungkapan yang diberikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila ditanya adakah dia sudah bosan melihat kelabnya memenangi kesemua piala yang dipertandingkan dalam Liga Malaysia.
Tunku Ismail yang ditemubual sebuah stesen radio swasta oleh mantan Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah kelab berpengkalan di Iskandar Puteri itu turut berbangga dengan segala rekod yang telah dicipta skuad Harimau Selatan sejak penubuhan JDT pada 2013.
Saya rasa seseorang tidak harus penat bila ianya melibatkan kemenangan. Saya ada ketagihan untuk menang dan kami telah cipta pelbagai rekod dan ianya menjadi motivasi buat kami serta ianya adalah pencapaian buat kami.
“Kami akan mencuba untuk melihat sejauh mana JDT boleh bersaing dengan pasukan-pasukan gergasi Asia dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) meskipun kami sedar ianya bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya dalam temubual itu.
Tunku Ismail juga mendedahkan sejak dia memulakan projek JDT pada 2013, dia hanya mula berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan pada 2020 kerana pemain sudah mula bermain dengan filosofi yang ditetapkan oleh kelab.
“Projek JDT bermula sejak 2013 tetapi saya mula berpuas hati sejak musim 2020 apabila kami dapat terapkan falsafah bola sepak yang dimahukan dan pemain mula faham iaitu bermain dengan cara kawalan bola atau ‘possession football‘, tambahnya.

Sejak diterajui TMJ, JDT sudah memenangi 22 piala domestik dan satu Piala AFC yang berprestij dengan musim 2022 adalah tahun yang paling gemilang buat Harimau Selatan apabila berjaya memenangi kejuaraan ‘Quadruple’ dengan menyapu bersih Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
JDT juga kini dalam prestasi yang cemerlang di permulaan musim 2023 apabila mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dengan menjaringkan 17 gol dengan hanya satu bolos untuk unggul di tangga teratas Liga Super.