BRUNEI membuat sejarah dengan bermain di luar konfederasinya untuk pertama kalinya dalam saingan Fifa Series 2024.

Mereka bertanding menentang Bermuda dan Vanuatu di King Abdullah Sport City di Jeddah, Arab Saudi.

Penyerang, Muhammad Hakeme Yazid Said mencipta gol dalam masa kecederaan untuk memberi Brunei  kemenangan bermakna 3-2 ke atas Vanuatu di Arab Saudi B.

Selepas tewas 2-0 kepada Bermuda dalam perlawanan pembukaan mereka beberapa hari sebelumnya, pasukan Brunei menunjukkan usaha yang lebih bersungguh-sungguh dalam perlawanan kedua.

Keputusan positif ini membuktikan kemajuan yang signifikan dalam bola sepak Brunei dan menggambarkan semangat dan kecekalan pasukan itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD), Feisal Eusoff Patail, berkata, pihaknya sedang mencari jalan untuk mengatasi cabaran dalam bola sepak dan ingin membuktikannya kepada negara.

“Pertemuan dengan Persatuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) dan telah memberikan input positif.

“SAFF, Fifa, dan Konfederasi Bola Sepak Asia memberikan sokongan dalam perkara yang berkaitan dengan bola sepak dan bahawa FABD akan memantau sebarang isu yang berkaitan dengan bola sepak,” katanya dalam laporan media tempatan.

Feisal Eusoff Patail

Sebanyak 20 negara akan menjadi projek perintis Fifa Series iaitu, Sri Lanka, Bhutan, Republik Afrika Tengah, Papua New Guinea, Azerbaijan, Mongolia,Tanzania, Bulgaria, Algeria, Bolivia, Andorra, Afrika Selatan, Bermuda, Guinea, Kemboja, Caoe Verde, Guyana, Vanuatu, Equatorial Guinea dan Brunei.

Dengan adanya Fifa Series, pasukan ranking rendah ini akan memiliki platform yang disediakan oleh Fifa untuk mendapatkan perlawanan yang bermakna dengan pasukan dari konfederasi yang berbeza.