TIADA pilihan lain kecuali kemenangan sahaja yang perlu dicapai skuad B-23 tahun kebangsaan pada perlawanan kedua Kumpulan D menentang Vietnam dalam kejohanan Piala Asia B-23 di Qatar.

Selepas mempamerkan aksi longlai dan seakan tidak bersedia ketika tewas 0-2 di tangan Uzbekistan, anak-anak buah Juan Torres Garrido perlu menewaskan skuad muda Vietnam untuk tidak tersingkir awal dari kejohanan.

Bagaimanapun lawan Malaysia pada aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Sabtu bukanlah mudah dengan Vietnam sudah pun berjaya memenangi perlawanan pertama keatas Kuwait 3-1 dan kini mahu menjadikan skuad Malaysia mangsa kedua sekaligus layak ke peringkat seterusnya.

Malaysia tidak ada pilihan lain kecuali meraih kemenangan

Jika dilihat berdasarkan pertemuan dengan Uzbekistan, banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh Juan Torres Garrido terutama dari sudut teknikal, kawalan bola serta mengurangkan rasa gugup yang mengundang kesilapan mudah hingga memberikan peluang buat lawan untuk menjaringkan gol.

Perangai suka memberikan penalti juga harus dihentikan kerana sejak perlawanan persahabatan, Malaysia mudah memberikan penalti kepada lawan yang akhirnya memerangkap diri sendiri dan menyukarkan keadaan ketika di dalam permainan.

Vietnam pasti hadir dengan keyakinan untuk mengesahkan tempat ke suku akhir lebih awal dengan barisan serangannya dilihat cukup berbahaya ketika meraih kemenangan keatas Kuwait tempoh hari.

Barisan Vietnam yang perlu diberikan perhatian oleh pemain-pemain Malaysia

Di atas kertas, Vietnam sememangnya mempunyai kelebihan dengan rekod pertemuan memihak kepada The Golden Dragons dengan lima kemenangan dari lima pertemuan.

Penyerang Vietnam, Bui Vi Hao mula menunjukkan kualiti dan ketajamannya selepas meledak dua gol menentang manakala gandingannya, Nguyen Van Tung juga mempamerkan aksi cemerlang apabila menjaringkan satu gol sekaligus perlu diberikan perhatian oleh barisan pertahanan skuad negara.

Vi Hao juga pernah menjaringkan gol ketika menewaskan Malaysia 4-1 dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan ketika separuh akhir Piala AFF B-23 tahun lalu yang turut menyaksikan Vietnam muncul sebagai juara.

Bui Vi Hao sedia ledak ke gawang Malaysia

Tugas berat semestinya menanti skuad muda kebangsaan namun masih ada peluang untuk memerangkap Vietnam dengan Malaysia perlu mengambil kesempatan atas kepantasan serangan balas yang dilihat sebagai kelemahan utama pasukan itu.

Sebarang keputusan negatif akan menyaksikan skuad muda negara tersingir dan akan pulang awal sejurus tamat perlawanan kumpulan tetapi para penyokong masih berharap keajaiban mampu dilakukan para pemain untuk mencipta kejutan meraih kemenangan.