Cape Verde bertekad memanfaatkan penampilan sulung mereka di Piala Dunia 2026 untuk membuktikan kemampuan sebenar pasukan itu apabila membuka kempen Kumpulan H menentang juara Eropah, Sepanyol, awal pagi esok.

Meskipun turun sebagai pasukan bukan pilihan, skuad kendalian Bubista enggan sekadar hadir untuk melengkapkan jadual pertandingan dan mahu memberikan saingan sengit kepada lawan yang dianggap antara pencabar utama gelaran dunia.

Menurut Bubista, kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia sudah menjadi satu pencapaian besar buat negara kecil di Afrika itu, namun pasukannya masih mempunyai cita-cita lebih besar untuk bersaing di atas padang.

“Kami sudah berbincang mengenai betapa kami mahu menikmati perlawanan ini dan juga Piala Dunia.

“Kami sudah menyatakan kelayakan ke Piala Dunia membawa makna lebih besar daripada sekadar bola sepak. Ia adalah satu pencapaian budaya dan muzik.

“Kami mahu memperkenalkan negara kami, jadi ini peluang yang luar biasa untuk menunjukkan negara kami kepada dunia,” katanya.

Cape Verde yang turut diundi bersama Uruguay dan Arab Saudi dalam Kumpulan H mahu menggunakan pentas terbesar bola sepak dunia itu untuk memperkenalkan identiti negara mereka kepada jutaan peminat di seluruh dunia.

Bubista berkata semangat juang dan keberanian yang menjadi identiti rakyat Cape Verde perlu diterjemahkan di atas padang sepanjang kejohanan berlangsung.

“Kami mahu mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan ini dengan keberanian dan semangat juang sambil menunjukkan kepada dunia siapa kami sebagai satu pasukan dan juga sebagai sebuah negara.

“Apabila kami bercakap mengenai identiti, kami sebenarnya bercakap mengenai siapa kami sebagai rakyat. Kami sukakan cabaran dan kesukaran kerana kami suka mengatasinya,” katanya.

Pengendali berusia 45 tahun itu turut menegaskan Cape Verde tidak akan bermain secara pasif walaupun berdepan lawan yang memiliki reputasi lebih besar.

“Kami tidak datang ke sini hanya untuk mengambil bahagian, kami datang untuk bersaing dan ia jelas dalam pasukan kami.

“Pasukan kami bersedia bermain secara menyerang jika perlu dan kami mahu membuktikannya,” katanya.

Cape Verde berharap semangat dan keyakinan tersebut mampu membantu mereka mencipta kejutan ketika berdepan Sepanyol dalam aksi pembukaan yang dianggap bersejarah buat bola sepak negara itu.

Kredit Gambar: Facebook/Federação Cabo-verdiana de Futebol