Arab Saudi tidak berhasrat untuk mengambil pendekatan terlalu berhati-hati apabila memulakan kempen Piala Dunia 2026 menentang Uruguay dalam aksi Kumpulan H awal pagi esok.

Jurulatih Green Falcons, Georgios Donis menegaskan pasukannya akan turun dengan keyakinan tinggi dan berusaha memburu kemenangan walaupun berdepan salah satu pasukan paling berpengalaman dari Amerika Selatan.

Menurutnya, Arab Saudi sudah membuat persiapan untuk menghadapi pelbagai situasi sepanjang perlawanan, sama ada ketika bertahan, menyerang atau melakukan serangan balas.

“Kami bersedia untuk memberi tekanan kepada lawan. Kami bersedia untuk bertahan secara tersusun. Kami bersedia untuk melakukan serangan balas dan mencipta peluang.

“Kami tidak tahu bagaimana perlawanan akan berlangsung, tetapi kami tidak menyediakan pasukan yang hanya menunggu lawan untuk bertindak balas. Kami menyediakan pasukan yang bermain dengan penuh keyakinan,” katanya.

Arab Saudi diundi bersama Uruguay, Sepanyol dan Cape Verde dalam Kumpulan H yang dijangka sengit, namun Donis menegaskan falsafah pasukannya tidak pernah berasaskan kepada usaha mendapatkan keputusan seri semata-mata.

Skuad Timur Tengah itu mempunyai rekod tersendiri di pentas Piala Dunia termasuk mencipta kejutan menewaskan Argentina pada edisi 2022 serta mara ke pusingan kedua ketika kejohanan berlangsung di Amerika Syarikat pada 1994.

Donis percaya pengalaman pemain Arab Saudi beraksi bersama bintang-bintang antarabangsa dalam Liga Pro Saudi membantu meningkatkan keyakinan pasukannya untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Pemain kami sudah biasa bersama pemain bertaraf dunia sebagai rakan sepasukan atau lawan. Mereka berlatih bersama mereka atau menentang mereka dalam perlawanan.

“Itu satu kelebihan besar kerana mereka menghormati lawan, tetapi pada masa sama situasi seperti ini bukan sesuatu yang baharu buat mereka,” katanya.

Pengendali kelahiran Greece itu turut mengakui masa yang dimilikinya untuk mempersiapkan pasukan selepas mengambil alih tugas daripada Herve Renard agak terhad, namun beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan pemain sepanjang kem latihan.

“Segala galanya berlaku dengan pantas. Memang saya mengenali pemain-pemain ini, tetapi berbeza apabila anda menjadi jurulatih mereka sendiri.

“Masa latihan bersama sangat singkat, namun sikap pemain memberi keyakinan kepada saya bahawa kami mampu menjadi pasukan yang sangat kompetitif,” katanya.

Arab Saudi kini berharap dapat memulakan kempen dengan keputusan positif sebelum berdepan cabaran lebih besar menentang Sepanyol dan Cape Verde dalam baki aksi kumpulan.

Sumber Gambar: Facebook/Saudi Arabian Football Federation