Cape Verde’s goalkeeper #01 Vozinha celebrates with his national flag at the end of the 2026 World Cup Group H football match between Spain and Cape Verde at the Atlanta Stadium in Atlanta on June 15, 2026. (Photo by ROBERTO SCHMIDT / AFP)
Cape Verde mencuri tumpuan pada aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia 2026 apabila mengikat gergasi Eropah, Sepanyol tanpa jaringan dalam satu keputusan yang dianggap antara kejutan awal kejohanan.
Di sebalik kejayaan meraih satu mata berharga itu, penjaga gol berusia 40 tahun, Vozinha muncul watak utama apabila mempamerkan aksi cemerlang untuk menafikan beberapa peluang terbaik Sepanyol sepanjang perlawanan.
Beraksi dalam penampilan sulung mereka di pentas Piala Dunia, Cape Verde menunjukkan disiplin tinggi di bahagian pertahanan untuk mengekang asakan pasukan yang berada dalam kelompok pilihan utama kejohanan.
Sepanyol menguasai sebahagian besar permainan namun gagal memanfaatkan peluang yang dicipta, termasuk percubaan Ferran Torres yang terkena palang pada penghujung babak pertama.
Vozinha terus menjadi benteng terakhir yang sukar ditembusi apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya termasuk tandukan Mikel Oyarzabal dan Aymeric Laporte.
Pasukan kendalian Luis de la Fuente turut menerima kesan daripada ketiadaan pemain sensasi, Lamine Yamal yang hanya dimasukkan pada babak kedua selepas baru pulih daripada kecederaan hamstring.
Walaupun kemasukan pemain muda itu memberikan lebih banyak ancaman kepada pertahanan Cape Verde, pasukan dari Afrika itu berjaya mengekalkan fokus sehingga wisel penamat.
Malah, Cape Verde hampir mencipta sensasi lebih besar apabila tandukan Dani Borges pada penghujung permainan hampir menghadiahkan kemenangan buat pasukannya.
Sebaik perlawanan tamat, emosi jelas menguasai Vozinha yang tidak dapat menahan air mata selepas membantu negaranya meraih keputusan bersejarah dalam penampilan pertama di Piala Dunia.
“Saya bekerja sepanjang hidup untuk saat ini, untuk impian ini. Ramai generasi sebelum kami mengimpikan perkara sama tetapi tidak berjaya mencapainya.
“Hari ini impian itu menjadi kenyataan untuk kami semua,” katanya.
Keputusan itu memberikan permulaan positif buat Cape Verde menjelang pertemuan dengan Uruguay dalam aksi kedua kumpulan, manakala Sepanyol perlu bangkit ketika berdepan Arab Saudi untuk menghidupkan peluang muncul juara kumpulan.