
“Casagrande dikeluarkan lebih awal kerana tahap kecergasan belum capai tahap optimum” – Devan

PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K. Devan berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya serta keputusan seri 1-1 dengan Sri Pahang FC pada aksi pertama mereka di Liga Super musim ini.
Devan juga percaya pasukan ini akan bertambah baik dengan masih banyak ruang dan peluang untuk memperbaiki persembahan dan keserasian dikalangan para pemain terutama pemain import.
Dia juga memuji semangat juang dan disiplin yang ditunjukkan para pemain dan sudah mengenalpasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi kedua pada Rabu.
Satu mata di Paroi dalam perlawanan pertama Liga Super musim ini.
Skuad Jang membuka jaringan menerusi penyerang import, Casagrande pada minit ke-22, melalui gerakan dari Safuwan dan Mark Goulon. pic.twitter.com/3BUdonUbzw
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) February 26, 2023
“Bagi saya ianya satu keputusan yang baik untuk mendapat satu mata di tempat sendiri dan saya berpuas hati dengan persembahan dan juga keputusan ini kerana kita dapat mengelak kekalahan di tempat sendiri.
“Pasukan ini akan bertambah baik serta keserasian pasukan juga akan bertambah baik kerana masih ada peluang untuk memperbaiki taktikal kerana musim masih awal lagi. Keputusan ini beri semangat baik kepada pemain.
“Kita bermula dengan serba kekurangan dengan keadaan pemain import yang baru sahaja hadir beberapa hari dan saya sangat berpuas hati kerana kita tidak kalah di tempat sendiri,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Aksi Casagrande ketika bertemu Sri Pahang FC.
Devan turut mengakui terpaksa mengeluarkan Casagrande lebih awal kerana tahap kecergasannya yang belum mencapai tahap optimum sekaligus menjejaskan sedikit barisan serangan NSFC terutama pada babak kedua.
Namun begitu dia turut yakin bahawa Casagrande bakal menjadi mesin gol untuk pasukannya berdasarkan rekod jaringannya yang baik dalam sejarah Liga Malaysia sebelum ini.
Negeri Sembilan FC bakal berhadapan cabaran Penang FC untuk perlawanan kedua Liga Super pada Rabu dan Devan akui situasi dalam pasukannya ketika ini dilihat lebih condong ke arah positif berbanding negatif.