Select Page

“Pemain import masih cari keserasian” – Cheng Hoe

“Pemain import masih cari keserasian” – Cheng Hoe

KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe enggan menunding jari kepada pemain import Ayron Del Valle dan Yohandry Jose Orozco biarpun mereka dilihat kerap kehilangan bola dan masih tercari-cari sentuhan penyudah sebagai penyerang.

Menurutnya, beberapa pemain import masih lagi dalam proses mencari keserasian dan percaya mereka memerlukan sedikit masa sebelum kembali kepada prestasi sebenar.

“Sebagai jurulatih saya yakin dengan kemampuan Ayron Del Valle dan Orozco sebab mereka datang agak lewat terutama Orozco baru datang sepuluh hari.

“Ayron masih lagi menyesuaikan diri dengan pasukan tetapi kalau kita lihat secara mendalam, saya rasa dia telah berikan yang terbaik untuk pasukan.

“Sudah tentu saya gembira dengan tiga mata tetapi kita masih dalam proses mencari keserasian pemain dan persefahaman,” ujarnya ketika ditemui semasa sidang media selepas perlawanan.

Dalam pada itu, dia turut merasakan pemain perlu lebih bijak dalam membuat keputusan akhir memandangkan banyak keputusan dibuat dengan cara teragak-agak dan ia mengundang padah kepada Gergasi Merah.

“Saya rasa pemain mempunyai sedikit kelemahan dalam membuat keputusan akhir namun dari segi menyeluruh banyak aspek positif dari negatif.

“Memang malam ini adalah perlawanan yang sukar. Kita pun ada buat analisis corak permainan Kelantan United akan datang bertahan dan buat serangan balas,” katanya.

Secara keseluruhan, jurulatih kelahiran Alor Setar Kedah itu menyifatkan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki terutama di bahagian tengah kerana pemain kerap kehilangan bola dan perlu lebih fokus ketika mengawal permainan.

“Saya rasa belum sampai lagi tahap sebenar. Banyak lagi homework yang perlu dibuat di bahagian pemain tengah seperti Orozco dan Al-Rawabdeh kerana ada ketika mereka mudah hilang bola,” jelasnya.

Video Terkini

Loading...