PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe meletakkan sasaran layak ke Piala AFC sebagai habuan kepada penyokong Selangor FC yang telah berkorban masa, kepenatan serta wang ringgit untuk hadir ke stadium memberi sokongan kepada Gergasi Merah.

Jelasnya, dia memahami keresahan peminat yang sudah lama dahagakan kejayaan dari pasukan Selangor FC yang kini dilihat mempunyai skuad yang lebih baik dari musim lalu.

Dengan kehadiran beberapa pemain import seperti Noor Al-Rawabdeh, Rauf Salifu serta beberapa pemain tempatan seperti Ahmad Khuzaimi Piee, Faisal Halim dan V.Ruventhiran dijangka mampu menambah sengat kepada skuad Gergasi Merah.

“Saya rasa para peminat, semua orang memang mahukan pasukan Selangor dapatkan satu slot bermain di Piala AFC nanti. Jadi kita harap kita dapat capai sasaran tersebut.

“Itu sasaran utama kami, bukan sahaja saya sebagai jurulatih, tetapi khususnya buat penyokong Selangor. Jadi kita akan buat sesuatu untuk kelab ini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Alor Setar, Kedah itu tidak meletakkan sebarang tekanan tinggi kepada pemainnya kerana mempercayai pemainnya sedar akan tanggungjawab masing-masing.

“Tetapi sebagai pemain, saya tidak letak tekanan terlalu tinggi kepada pemain kerana pemain-pemain juga tahu tugasan serta tanggungjawab mereka apabila bersama pasukan Selangor,” ujarnya.

Menjelang aksi liga yang padat bagi musim ini, Cheng Hoe menganggap tahun ini akan menjadi sebuah tahun yang mencabar namun dia tetap optimis skuad kendaliannya akan berusaha sedaya-upaya mencapai keputusan positif pada saingan Liga Malaysia.

“Untuk tahun 2023, memang satu cabaran yang besar untuk saya dan juga pasukan serta pemain. Memang kita mahukan satu pencapaian terbaik dalam Liga Malaysia.

“Kita harus bekerja keras dari hari pertama kita lapor diri untuk latihan dan kita bekerja keras untuk pastikan pasukan sentiasa berkembang,” jelasnya.