SUDAH sekian lama tidak kedengaran Kejohanan Pestabola Merdeka, kini ianya bakal kembali dianjurkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kejohanan bola sepak yang kali terakhir dianjurkan pada 2013 itu jelas mempunyai karisma yang tersendiri apabila seringkali menjemput pasukan hebat memeriahkan kejohanan tersebut.

Penganjuran Pestabola Merdeka yang dicadangkan akan berlangsung pada bulan September itu telah mendapat reaksi dari bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah.

Menurut Azraai, penganjuran Pestabola Merdeka 2023 merupakan suatu langkah efisien bagi memastikan bola sepak negara terus berkembang maju apabila berhadapan dengan pasukan yang mempunyai kualiti di peringkat antarabangsa.

Dengan perbincangan untuk menjemput pasukan Thailand, Vietnam, Syria dan Palestin, Azraai menyatakan ia merupakan langkah terbaik bagi memberi pendedahan kepada pemain kebangsaan menjelang Piala Asia 2023.

“Kalau ada kejohanan sebegini, kita akan dapat lebih pendedahan untuk pemain kita. Satu perkara yang baik apabila kita dapat menjemput pasukan-pasukan yang berkualiti.

“Pasukan yang dijemput perlulah berkualiti dan saya rasakan pasukan yang berada di dalam perancangan FAM (Thailand,Vietnam,Syria,Palestin) adalah baik.

“Langkah yang bagus, pemain juga mendapat lebih minit permainan di peringkat antarabangsa, menambahkan kaps antarabangsa dan memajukan bola sepak kebangsaan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Lebih manis lagi, apabila India yang menghuni ranking ke-106 dunia telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan kali ini yang mempunyai prestij tersendiri.

Agak menarik kerana sejak tahun 2006, Malaysia tidak pernah menjemput pasukan luar dari Asia Tenggara namun kali ini cabaran pastinya lebih kompetitif dengan kehadiran pemain berkualiti dari Timur Tengah.

Harimau Malaya mempunyai rekod cukup baik dengan sepuluh kejuaraan sepanjang berlangsungnya Pestabola Merdeka sejak kali pertama dianjurkan pada 1957.

Kali terakhir skuad kebangsaan menjadi johan adalah pada 2013 yang menyaksikan skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) menewaskan Myanmar Bawah 23 Tahun (B-23) 2-0 dalam pentas akhir Kejohanan Pestabola Merdeka.

Setelah 10 tahun menghilang dari kalendar bola sepak kebangsaan, tahun 2023 bakal kembali dihiasi dengan kejohanan bola sepak yang paling diminati rakyat Malaysia setelah negara mencapai kemerdekaan.