PERTAHANAN kanan, Matthew Davies menegaskan dia selesa dengan corak latihan Kim Pan-gon menerapkan latihan berintensiti tinggi bagi persediaan menghadapi lawan-lawan yang lebih mencabar.

Jelas Davies, persiapan kali ini pada tahap terbaik dan dia hanya memberikan sepenuh tumpuan kepada latihan dan sentiasa melakukan yang terbaik buat pasukan kebangsaan.

“Kami selesa dengan corak intensiti tinggi yang diterapkan Kim Pan-gon.

“Persiapan pada tahap yang baik, saya hanya fokus kepada latihan dan sentiasa berazam melakukan yang terbaik, ” ujar pemain kelahiran Australia itu.

Sementara itu, penjaga gol negara, Khairulazhan Khalid memberi gambaran dia akan melakukan yang terbaik seandainya diberi peluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Khairulazhan menyifatkan faktor pemilihannya dalam skuad kali ini mungkin disebabkan Pan-gon menyedari dia memiliki sesuatu yang di perlukan dalam pasukan negara.

“Sekiranya diberi peluang, saya akan berikan 100 peratus. Tekanan itu ada tapi saya akan berikan yang terbaik.

“Saya harap penyokong dapat hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada kami untuk melakukan yang terbaik,” jelas penjaga gol Selangor FC ini.

Malaysia bakal menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Myanmar (27 Mei), Hong Kong (1 Jun), serta tiga perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) yang kesemuanya dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.